BESTARI JAYA : Kerajaan Selangor akan memulihara kawasan hutan simpan di sini yang telah diceroboh bagi memastikan kawasan tersebut dapat membekalkan air ke sawah-sawah dipersekitarannya dengan baik.
Usaha yang dijalankan di Hutan Simpan Raja Musa di sini adalah sebahagian dari komitmen pentadbiran Pakatan Rakyat terhadap pemuliharan alam sekitar semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor.
Program pemuliharaan semula hutan simpan 80 ribu hektar itu merangkumi penanaman semula anak pokok bagi menghasilkan hutan gambut di kawasan yang telah ditebang dan pemantuan bagi mengelakkan pencerobohan.
Sebelum ini, hutan simpan itu diceroboh dan dibersihkan untuk menanam kelapa sawit.
Ini diucapkan Penolong Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Lee Kim Sin di dalam Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2012 yang diadakan di Hutan Simpan Raja Musa di sini pagi tadi.
"Sejak 2008, Kerajaan Negeri telah memastikan bahawa semua tanah yang diceroboh sebelum ini dikembalikan kepada kerajaan untuk tujuan pemuliharaan.
"Seperti hutan ini adalah bekas kawasan yang telah diceroboh sebelum ini. Namun dengan adanya kerjasama Kerajaan Negeri, badan-badan korporat dan NGO serta komuniti setempat saya pasti hutan gambut ini akan kembali," tegas Lee, yang juga ADUN Kajang.
Menurut Lee, pemuliharaan semula hutan simpan gambut ini penting bukan sekadar untuk mengawal iklim global, tetapi juga untuk membekalkan air ke sawah-sawah serta mengawal ekosistem hidupan air tawar.
"Kebanyakan orang melihat hutan gambut sesuatu yang bermasalah kerana mereka menilainya melalui perspektif ekonomi.
"Tetapi sebenarnya hutan gambut ini sangat kaya dan merupakan kurniaan Tuhan yang tidak ternilai untuk kepentingan kita. Rugilah jika kita tidak menghargainya," jelas bekas guru ini.
Beliau turut merasmikan Program Komuniti Sahabat Hutan Gambut dan Program Sekolah Renjer Hutan Tanah Gambut.
Lee turut menyempurnakan upacara penanaman pokok di kawasan tersebut bersama dengan 300 anggota sukarelawan dan sebanyak seribu anak pokok berjaya ditanam hari ini.
Usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor dengan kerjasama Pusat Persekitaran Global (GEC) dan badan korporat ini bermula sejak tahun 2008. Kini lebih daripada 40,000 anak pokok berjaya ditanam dengan penglibatan kira-kira 4,000 sukarelawan.
Program ini turut dijayakan oleh HSBC Bank Malaysia Berhad, Kesatuan Eropah dan 99 Speedmart Sdn Bhd.
Antara tetamu kehormat lain adalah Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Yusoff Muda, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faizal Parish serta Pengarah Korporat Bank HSBC, Koo Yi Lin.
No comments:
Post a Comment