Saturday, February 4, 2012

Dr Khir Toyo: Saya serik jadi Menteri Besar Selangor

"Tidak ada satu pengiktirafan yang saya dapat, sebaliknya cacian walaupun saya menjalankan tugas dengan baik," kata beliau.



Bahagian 2

SHAH ALAM: Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau serik menjadi menteri besar Selangor yang disandangnya selama lapan tahun.

“Tidak ada satu pengiktirafan yang saya dapat, sebaliknya cacian walaupun saya menjalankan tugas dengan baik.

“Saya jalankan amanah, ekonomi baik, pekerjaan banyak setinggan saya hapuskan sehingga 98 peratus. Semua baik waktu itu.

“Saya bekerja 18 jam sehari sehingga tidak ada masa untuk bersama keluarga dan anak isteri,” katanya,” katanya ketika ditemui di pejabat perniagaannya di Glenmarie di sini.

Bekas menteri besar Selangor itu menjadi ahli perniagaan sejak tiga tahun lalu setelah BN tumbang dalam pilihan raya umum 2008.

“Saya berniaga sejak tidak menjadi menteri besar, untuk mencari makan. Saya lebih senang begini.

“Ada masa untuk bersama isteri dan anak-anak,” kata Adun Sungai Panjang itu lagi.

Dr Khir menjadi menteri besar Selangor pada 2000 ekoran perletakan jawatan Tan Sri Abu Hassan Omar.Waktu itu beliau berumur 36 tahun – menteri besar kedua termuda selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Khir mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke 13.

“Saya tidak akan mempetahankan kerusi DUN itu walau yakin menang jika saya bertanding. Berilah kepada orang lain. Serik,” tambahnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, Dr Khir berjanji akan terus membantu BN merampas semula kerajaan negeri Selangor dari Pakatan Rakyat.

Akan bangkit

Beliau kini berdepan hukuman penjara setahun ekoran kesalahan memiliki rumah lebih murah dari harga sebenar.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu yakin akan bangkit lagi dalam politik.

“Saya masih muda, 45 tahun banyak masa lagi. Jalan saya masih panjang untuk pergi…

“Lihat Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dipecat dan kemudian menjadi perdana menteri,” katanya.

Dr Mahathir kalah dalam pilihan raya umum 1969 dan dipecat dari Umno kerana mengkritik Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau diterima semula Umno semasa Tun Razak Hussein menjadi perdana menteri.

No comments: