BERNAMA
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberikan jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata jaminan itu dibuat kerana bekalan minyak masak mencukupi dan tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.
Beliau berkata, kekurangan minyak masak disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.
"Minyak memang mencukupi untuk negara kita. Saya harap pengguna jangan dengar khabar angin sebegini.
"Kabinet belum mencadangkan untuk menaikkan harga (minyak masak), jadi tidak akan ada kenaikan harga buat masa ini melainkan ditentukan oleh Kabinet," katanya kepada pemberita selepas melawat Tesco Mutiara Damansara di Petaling Jaya, hari ini.
Minyak masak adalah salah satu barang kawalan yang disenaraikan oleh kementerian itu.
Tan berkata, kementerian memantau keadaan semasa dan memberi amaran bahawa peniaga yang menaikkan harga barang ini akan menghadapi risiko untuk didakwa mengikut Akta Anti-Pencatutan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sokongan pengguna terhadap usaha mengurangkan penggunaan beg plastik adalah penting dan janganlah hanya mengadu mengenai larang itu pada setiap Sabtu.
"Adalah amat wajar kita sedar akan perlunya mengurangkan penggunaan beg plastik demi alam sekitar dan masa depan," katanya.
Katanya, secara purata Malaysia menggunakan lapan juta beg plastik setiap tahun.
"Purata, kita gunakan seliter petroleum untuk mengeluarkan satu plastik beg dan beg itu akan mengambil masa 500 tahun itu reput. Mengambil kira harga tenaga tidak diperbaharui ini, kita hendaklah mengurangkan penggunaannya," katanya.
No comments:
Post a Comment