KUALA LUMPUR — Isu novel kontroversial Interlok dilihat belum menemui penghujungnya meskipun Putrajaya mengumumkan bahawa ia tetap akan digunakan dengan dibuat pindaan pada bahagian-bahagian yang sensitif.
Pihak-pihak yang terlibat dengan dekat dalam kontroversi ini masih belum sanggup untuk mengiktiraf penyelesaian yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, kelmarin.
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menegaskan keputusan kerajaan memutuskan untuk mengekalkan novel Interlok dengan membuat pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India tidak selari dengan hasil perbincangan pada awal bulan ini.
Ahli Jawatankuasanya, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, sesi dialog antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan wakil MIC pada 18 Januari lalu tidak pernah membuat sebarang keputusan.
“Di Putrajaya kita ada buat tuntutan yang mana kita minta untuk tiada sebarang pindaan terhadap novel Interlok,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Tiada sebarang pindaan, tapi kita benarkan ada penjelasan seperti glosari atau kamus kecil tentang perkataan yang kabur dalam novel Interlok.
“Kalau pindaan, sejak dari mula kita tidak pernah sokong. Gapena pada umum tidak setuju dengan pindaan dan menyokong kebebasan pengarang untuk menulis novel,” katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata walaupun kerajaan sudah membuat keputusan, namun pihaknya tetap tidak menyokong sebarang pindaan.
“Itu keputusan kerajaan, kita tidak pasti macam mana (ia diputuskan), dari sudut pandangan kita tak sokong sebarang pindaan dibuat.
“Tapi kalau penulis nak buat (pinda) kita tak tentang tapi kita tetap berpegang kepada prinsip kebebasan untuk menulis novel,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Penulis Nasional (Pena) dalam komennya kepada The Malaysian Insider kelmarin juga membantah keras keputusan kerajaan yang memutuskan untuk mengekalkan novel Interlok yang kontroversial dengan membuat pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.
Pertubuhan itu mahu novel tersebut, yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, 91, empat dekad yang lalu dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun sebelum ini ada desakan masyarakat India agar ia ditarik balik.
Kelmarin, Muhyiddin berkata novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.
Ia diumumkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC Datuk G Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S. Subramaniam kelmarin.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Novel itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam berkata pihaknya sudah hilang kepercayaan dengan pendirian MIC dalam isu tersebut.
Sehubungan itu beliau yang juga bekas presiden Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (Prima) berkata pihaknya akan meneruskan usaha membantah penggunaan novel itu di sekolah mulai sekarang.
“Kami memberikan sokongan kepada MIC untuk menyelesaikan isu ini, tetapi sekarang kami sudah hilang keyakinan dengan MIC yang gagal membawa aspirasi masyarakat India,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Katanya pihaknya sudah mengaturkan program berpuasa menuntut novel itu ditarik balik di ibu negara esok.
“Kami akan berpuasa dari pagi hingga petang esok meminta kerajaan mendengar tuntutan kami,” katanya lagi yang turut menambah bahawa pihaknya akan mengadakan forum penjelasan mengenai isu itu di seluruh negara.
Pihak berkenaan masih berpendapat bahawa novel itu tidak wajar digunakan di sekolah sebagai buku teks.
“Selepas itu kami hendak mengadakan protes di seluruh negara,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment