Sunday, January 30, 2011

2 wanita didakwa eksploitasi bayi perempuan tujuh hari

SELANGOR KINI

AMPANG – Mahkamah Sesyen dekat sini, semalam, mendakwa dua wanita termasuk seorang warga Indonesia atas kesalahan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari bagi tujuan eksploitasi, dua minggu lalu.

Menurut Laporan Berita Harian, Yong Thim Thai, 53, seorang pembantu kedai elektrik dan Alin Athu, 36, didakwa dengan niat bersama melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Pasaraya Tesco Ampang, Ampang Jaya, pada jam 2.30 petang, 14 Januari lalu.

Walau bagaimanapun kedua-duanya tidak mengaku bersalah.

Yong Thim Thai (kiri) dan Alin Athu - sumber BH

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan O rang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Ab Hamid memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 terhadap Yong dengan syarat tambahan dia perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kesnya diputuskan mahkamah.

Alin bagaimanapun tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana statusnya sebagai warga asing dan tidak memiliki rekod perjalanan sah.

Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan permohonan Zuraini dan menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan 28 Februari depan bagi tarikh sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pada 18 Januari lalu, akhbar melaporkan kejayaan polis menahan lapan wanita termasuk empat rakyat asing dan seorang lelaki yang juga anak kepada seorang suspek warga asing yang disyaki menjadi dalang sindiket menjual bayi di sekitar Lembah Klang.

Penahanan semua suspek dibuat melalui tiga serbuan berasingan pada 14 dan 15 Januari lalu, masing-masing di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Ampang, sebuah klinik swasta di Selayang dan di sebuah rumah seorang suspek di Subang Jaya.

No comments: