Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.
Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah rakyat di sini hari ini berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.
Ketika ditanya sama ada PAS telah mempunyai bayang-bayang siapakah bakal dicalonkan di Merlimau, Abdul Hadi berkata: “Merlimau, kita ada orang bukan bayang-bayang, kita ada ramai situ.”
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.
No comments:
Post a Comment