SEPANG — Mahkamah Majistret Sepang membenarkan tahanan reman terhadap tiga suspek termasuk peguam dua beradik dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, bermula hari ini sehingga 1 Oktober ini.
Salah seorang peguam yang mewakili dua beradik itu, Ravi Nekoo memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa tahanan reman selama enam hari itu bagi membenarkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan jutawan lelaki warga India Allal Kanthan Muthuraja sejak 18 Januari lepas.
Semalam, ketiga-tiga suspek yang tamat tahanan remannya di atas siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, ditahan semula bagi membantu siasatan kehilangan jutawan dari India itu.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 Sept lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.
Ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.35 pagi dalam tiga buah kereta yang berasingan dengan kawalan rapi polis.
Mereka kemudian meninggalkan mahkamah selepas perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain pada pukul 11.40 pagi.
Ravi berkata majistret telah meminta salah seorang anak guamnya yang mendakwa dipukul oleh pihak polis semasa di reman sebelum ini supaya membuat laporan mengenai perkara itu.
“Kita akan berjumpa dia (anak guamnya) bagi membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata laporan itu dijangka dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di Banting pada hari ini atau dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata seorang lagi suspek masih lagi tidak diwakili peguam.
Selain daripada Ravi, dua beradik peguam itu diwakili oleh Datuk Ng See Teong, R.Pushpa dan Amer Hamzah Arshad.
No comments:
Post a Comment