Monday, September 27, 2010

Majmuk: Umno BN gagal tonjol keadilan Islam

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno BN telah gagal memikul amanah rakyat majmuk untuk membina negara Malaysia yang hebat dan dalam masa yang sama menunjukkan contoh model keadilan Islam yang sebenar.

Ini juga, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakibatkan orang Melayu yang mendapat majoriti besar dalam pilihan raya gagal memartabatkan Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Sehubungan itu, PAS mengajak seluruh orang Melayu Islam yang bimbang dengan kedudukan mereka agar dapat berfikir dengan rasional dan fakta yang jelas, bahawa Umno BN akan sekali lagi berlaku curang terhadap mereka.

“Marilah bersama dengan gagasan baharu bahawa PAS perlu menggantikan Umno sebagai teras politik Melayu Islam dalam negara kita ini.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah BN dengan bersama membuat perubahan bersama PAS dalam Pakatan Rakyat ke arah Malaysia yang lebih adil dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang disokong oleh beberapa pimpinan Umno lain bahawa orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan negara adalah merupakan suatu pandangan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Menurutnya, igauan itu kerana takutkan kekalahan kerana dibejati kesalahan-kesalahan yang dilakukan semasa memimpin negara.

Semuanya itu, ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang telah sekali lagi diulang sebut pada saat Umno berada dalam keadaan yang paling parah dari segi politiknya.

Beliau menambah, sejarah sekali-kali tidak boleh menafikan bahawa Umno adalah parti warisan yang meneruskan agenda penjajah dengan melaksanakan ideologi yang boleh melemahkan umat Islam di samping mereka juga tidak boleh dijadikan contoh yang baik terhadap masyarakat majmuk dalam negara ini.

No comments: