BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 12 Oktober depan bagi perbicaraan penyanyi kumpulan Spring Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng yang dituduh memasukkan dadah ke dalam badannya.
Majistret Zaki Asyraf Zubir membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh peguam Kamarulzaman Abdul Rahman, penyanyi itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana perlu menjaga anak lelakinya yang tidak sihat.
Ameng dan isteri, Sabariah Zakaria, dijadual memberi keterangan membela diri pada perbicaraan kes Ameng hari ini, namun perbicaraan itu ditangguhkan kerana anaknya yang berusia dua tahun setengah menghidap penyakit asma yang serius.
Kamarulzaman berkata, anak kepada penyanyi itu dimasukkan ke Hospital Jertih, Besut, Terengganu, Sabtu lalu.
Pada 7 September lalu, Ameng, 41, diperintahkan membela diri atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.
Pada 12 Mei lalu, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lalu.
Dia yang diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
No comments:
Post a Comment