Thursday, September 30, 2010

Tindakan sewajarnya terhadap TV3


20091127171609_johari Oleh Qayum Rahman

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap TV3 berikutan kenyataan stesen televisyen itu bahawa beliau tewas dalam pemilihan Ketua Cabang kawasan itu pada 24 September lalu.

Menurut Johari, keputusan sama ada untuk menuntut permohonan maaf atau menyaman TV3 akan dibuat esok dalam satu mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin di peringkat Cabang dan para pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

"Kenyataan palsu TV3 itu telah menjejaskan imej saya sebagai ahli parlimen kerana sebenarnya saya memenangi jawatan itu," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata, "sebelum selesai pengiraan dibuat, saya diumumkan kalah oleh TV3 dan oleh orang parti yang tidak berpuas hati dengan pencalonan saya.

"Saya terus mendapat panggilan dari pelbagai pihak di seluruh negara mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh TV3 itu tanpa mengambil kira sama ada berita itu satu pembohongan ataupun benar.

Ujar beliau, "akibat kecuaian TV3, pelbagai persepsi buruk dilempar terhadap saya sehingga wujud mesej pesanan ringkas (SMS) yang mengutuk kononnya kekalahan saya itu akan memalukan diri sendiri selaku Ahli Parlimen.

"Selalunya media seperti TV3 ingin mencetuskan kontroversi tetapi kontroversi ini telah menyebabkan nama individu seperti saya dan imej PKR turut terjejas," katanya.

TV3 buat andaian sendiri

Beliau berkata, media masa sepatutnya melaporkan kenyataan lebih tepat tetapi pihak TV3 membuat kesilapan dan membuat andaian sendiri kerana tidak menunggu proses pengundian selesai," jelasnya.

Bercakap mengenai proses perjalanan pemilihan PKR di negeri Kedah, Johari berkata, proses tersebut sepatutnya berjalan lancar tanpa wujudnya agenda tersembunyi untuk menjatuhkan calon lain.

"Memang wujud isu sabotaj ketika pemilihan Cabang Sungai Petani ini hingga ada individu dalam parti sendiri sanggup menyampaikan khabar angin melalui SMS untuk menjatuhkan calon bukan pilihan mereka.

Beliau berkata, parti PKR pada ketika ini menjadi perhatian umum hingga menyebabkan kebanyakan calon berlumba-lumba untuk mencari jawatan tertinggi dalam parti.

"PKR adalah parti yang mempunyai masa depan yang cerah sekaligus menyebabkan semua ahli dan pemimpin ingin membawa parti lebih jauh ke hadapan.

"Anasir-anasir yang membuat kacau dan mahu merosakkan nama parti perlu dihapuskan agar pemilihan PKR akan datang dapat berjalan lebih lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.

No comments: