Beriya-iya minta maaf
SHAH ALAM: “Aku minta maaf ya. Manalah tahu raya nanti kita tak jumpa.” Begitu luahan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, kepada sahabat ‘suka dan duka’nya, Siti Rudziah Lembek, 46, beberapa minggu sebelum jutawan kosmetik itu dipukul sampai mati dan mayatnya dibakar serta abunya dibuang ke sungai.
“Pelukan itu sungguh luar biasa. Sambil memeluk, dia (Sosilawati) meminta maaf. Saya tidak berasakan apa-apa keanehan ketika itu dan menganggap dia bergurau.
“Saya beritahu raya nantilah minta maaf tetapi dia menjawab, manalah tahu raya nanti kami tidak berjumpa,” katanya.
Siti berkata pertemuan itu yang berlangsung di restorannya pada hari ketujuh Ramadan hanya seketika, tidak seperti kebiasaan pertemuan mereka sebelum itu.
Biasanya, jika mereka berjumpa ia memakan masa berjam-jam tetapi ketika itu dia hanya meluangkan masa kira-kira 20 minit.
“Dia ambil makanan kegemarannya, tempoyak untuk juadah berbuka puasa dan terus meminta diri,” katanya.
Pemilik Restoran RNS Corner di Seksyen 16, di sini itu tidak menyangka ungkapan maaf dan pelukan luar biasa itu rupa-rupanya petanda sahabat baiknya pergi untuk selama-lamanya.
Siti mengakui kehilangan Sosilawati sangat dirasai kerana persahabatan mereka menjangkau sehingga berkongsi kesedihan, kegembiraan, masalah peribadi dan meminta nasihat.
“Bayangkan, zaman bujang dulu kami duduk serumah, berkongsi bantal dan tilam. Apabila masing-masing sudah berumah tangga, hubungan kami tetap akrab.
“Jika ada masalah, arwah akan berkongsi dengan saya dan minta nasihat. Jika beli kereta baru, dia akan datang ke Shah Alam dan menyuruh saya mencuba kereta barunya,” katanya, sedih.
Menurut Siti, selain meminta maaf, Sosilawati turut mengungkapkan perkataan ‘pergi’ kepadanya ketika dia mengadakan majlis tahlil seminggu sebelum Ramadan.
“Ketika majlis itu arwah kelihatan gembira. Dia beritahu sudah buat persiapan untuk masa depan anaknya.
“Masih terngiang-ngiang, dia ada sebut, ‘kalau aku ‘pergi’ harta semua aku sudah siapkan untuk anak aku. Wang dah ada... rumah dah ada’,” katanya.
Siti turut memberitahu, pada tempoh berkenaan, Sosilawati beriya-iya menyuruhnya menyewa banglo miliknya di Shah Alam.
“Dia tak minta wang, tetapi hanya mahukan persetujuan sebelum Aidilfitri. Dia beritahu, jika buat majlis kahwin untuk anak saya yang dirancang pada April tahun depan, sesuai sangat sebab kawasannya luas.
“Dia bersungguh-sungguh menyuruh saya menyewa rumahnya kerana bimbang berubah fikiran selepas Aidilfitri. Begitupun, saya tidak menerima tawarannya kerana belum ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.
Bagi Siti, sukar mendapat rakan seperti Sosilawati yang disifatkannya sebagai pemurah, tidak sombong, tidak suka bercerita mengenai keburukan orang lain dan mudah membantu rakan dalam kesusahan.
“Paling tidak dapat saya lupakan, ketika ibu saya meninggal dunia pada Ogos 2004, dia yang pertama datang menziarah. Ketika saya mahu ke bank untuk mengeluarkan wang bagi menguruskan jenazah, dia menyuruh saya duduk di rumah saja dan memberikan wang sebanyak RM3,000.
“Banyak jasanya kepada saya. Jika saya buat majlis, walaupun kecil, sedaya upaya dia akan datang walau sesibuk mana sekalipun,” katanya.
Sosilawati, 47, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 12 September lalu polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
No comments:
Post a Comment