KUALA TERENGGANU — Polis tidak akan mendedahkan angka sebenar kematian atau kes orang hilang yang melibatkan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya sebelum siasatan menyeluruh dilakukan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata polis masih menyiasat kes pembunuhan Sosilawati serta tiga yang lain dan kemungkinan wujud kes-kes kematian lain yang melibatkan suspek berkenaan.
“Hari ini saya tidak mahu mengesahkan apa-apa. Usaha yang dijalankan itu lebih penting. Apabila sudah dapat bukti dan fakta, baru kita beritahu,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Ibupejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan. Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan jumlah kematian dan kes kehilangan individu yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan kejam itu, yang disiasat polis sehingga hari ini.
Sosilawati, 47, pemandu Kamarudin Shamsuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilapor hilang pada 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lepas.
Pada 13 September polis mengesahkan Sosilawati dan tiga yang lain telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor, yang dikatakan milik peguam suspek utama kes pembunuhan kejam itu.
Laporan sebelum ini menyebut polis juga menyiasat kaitan suspek utama kes itu dengan beberapa kes lain, antaranya kes ahli perniagaan dari India, Allal Kathan Muturaja, yang dilapor hilang di Banting, Selangor, 18 Januari lepas dan Mohd Shafik Abdullah, 37, juga seorang ahli perniagaan yang dilapor hilang sejak April lepas.
Sementara itu, Ismail turut mengingatkan media agar tidak melaporkan berita berbentuk spekulasi berhubung kes itu tanpa mendapatkan pengesahan polis terlebih dahulu.
“Media jangan mudah keluar berita. Yang penting kami siasat secara menyeluruh kemungkinan jenayah lain dilakukan di situ.
“Kita nak tahu apa yang berlaku dalam kejadian itu. Biarlah kami jalankan siasatan dulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment