Jumaat, 16 April 2021

Kes pukul pekerja: ‘Something wrong’ suruh jangan puasa, kata menteri

Mangsa mendakwa dibelasah menggunakan rotan sehingga menyebabkan 
lebam dan mengalami pembekuan darah.

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menyarankan tindakan tegas dikenakan terhadap individu disyaki terlibat kejadian dua pekerja lelaki dipukul secara bergilir kerana berpuasa.

Beliau juga sudah meminta polis membuat siasatan lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Nak tahu perkara itu secara lebih mendalam. Perlu ambil tindakan tegas terutamanya kalau semata-mata isu berpuasa.

“Isu ini paling besar di negara. Dia Islam nak puasa, pasal apa bukan Islam nak suruh jangan puasa. ‘Something wrong’,” katanya selepas menyertai Wacana Meja Bulat bersama komuniti Kristian, komuniti dari Sabah dan Sarawak, kumpulan agama Hindu, Sikh, ahli akademik, peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Terdahulu, polis menahan empat individu yang disyaki terlibat dalam kes majikan memukul dua pengawal peribadi secara bergilir di belakang badan menggunakan sebatang rotan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 298 KK kerana menghina Islam dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Empat suspek yang juga pekerja majikan itu direman lima hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: