Isnin, 21 Januari 2019

Dapur asrama disita: KPM sedia kontraktor penyelamat

tyrazalhe

Kementerian tidak akan berkompromi soal kualiti makanan pelajar



BANGI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya tidak disediakan makanan selama 14 hari, sepanjang tempoh dapur asrama sekolah berkenaan disita Kementerian Kesihatan bermula 10 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPM berkata, Jabatan Pendidikan Selangor telah menyediakan kontraktor penyelamat (sementara) selama tempoh itu, bagi membolehkan makanan kepada 850 pelajar disediakan dengan mencukupi dan menepati masa hidangan yang ditetapkan.

“Oleh itu, dakwaan yang menular di media sosial bahawa murid-murid Sekolah Seri Puteri Cyberjaya tidak disediakan makanan selama 14 hari sepanjang tempoh dapur asrama disita dan meragui kualiti makanan yang disediakan, adalah tidak benar sama sekali.

“KPM sentiasa mengutamakan kebajikan murid dengan memastikan kebersihatan dan kualiti makanan yang dibekalkan dipatuhi,” kata kementerian itu.

Kementerian itu berkata, kontraktor bekalan makanan sekolah terbabit pernah diberikan amaran dan teguran oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) sebelum ini.

Bagaimanapun, kontraktor terbabit tidak melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan secara keseluruhan walaupun mempunyai tempoh masa yang panjang semasa cuti akhir tahun yang lalu.

Katanya, KPM juga sedang mempertimbangkan beberapa tindakan yang lebih tegas demi menjaga kebajikan murid, selain meminta pengurusan sekolah meningkatkan tahap pemantauan bagi memastikan kualiti makanan mematuhi standard yang ditetapkan.

“KPM akan memberi kerjasama penuh kepada KKM dalam memastikan kebersihan dapur asrama dan dewan makan sentiasa dijaga.

“Sekali lagi KPM ingin menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dalam soal menjaga kualiti makanan yang disediakan kepada murid,” kata kenyataan itu.


Tiada ulasan: