Isnin, 4 April 2016

Usul Hadkan Tempoh Jawatan Ketua Menteri Akan Disemak Pejabat Speaker DUN

MSTAR ONLINE




GEORGE TOWN: Usul seorang wakil rakyat DAP berhubung pindaan Perlembagaan Undang-undang negeri Pulau Pinang untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri akan disemak Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum memutuskan sama ada akan dibahas atau tidak pada sidang dewan bulan depan.

Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang berkata pihaknya menerima usul anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Bungah Teh Yee Cheu dan ia akan dibincang selepas tamat tempoh pemberitahuan usul dikemukakan iaitu 14 hari sebelum DUN bersidang.

"DUN Pulau Pinang akan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abas pada 10 Mei ini...jadi semua wakil rakyat masih mempunyai masa sehingga 25 April ini untuk mengemukakan usul mereka kepada pejabat DUN.

"Semua usul yang dihantar akan disemak dan diteliti dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan DUN sebelum ia (usul) dibenarkan untuk dibahas.

"Jadi sama juga untuk usul oleh Adun Tanjung Bungah itu, ia akan disemak dan diteliti pejabat Speaker DUN terlebih dahulu sebelum boleh dibahas pada persidangan dewan, sama ada usul itu akan dibahas atau tidak, saya akan maklumkan kepada media sebelum persidangan DUN nanti," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Khamis lepas, Teh menyerahkan surat usul bagi pindaan Perlembagaan Undang-undang negeri Pulau Pinang untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada dua penggal sahaja dan Adun Tanjung Bungah itu dilapor berkata, usul itu demi kepentingan rakyat dalam proses reformasi dan pendemokrasian bagi memberi peluang kepada pemimpin yang berkebolehan untuk menerajui tampuk pemerintahan negeri.

Choo Kiang berkata, usul itu bukan isu yang baharu kerana selain Yee Cheu, perkara itu pernah dibangkitkan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid pada persidangan dewan tahun lepas tetapi ia ditolak kerana terdapat kesilapan teknikal.

"Teh juga pernah membangkitkan dan mengemukakan isu itu tetapi turut ditolak kerana ia (usul) tidak dihantar untuk pemberitahuan usul iaitu 14 hari sebelum persidangan DUN.

"Kali ini, beliau menghantar usul berkenaan awal serta mahu diteliti dan dikaji Jawatankuasa Perlembagaan yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum dibentangkan pada persidangan (dewan)," katanya. Beliau berkata jika usul itu diluluskan pada persidangan DUN Mei ini, ia akan diteliti dan dibincangkan oleh Jawatankuasa Perlembangaan itu sekali lagi sebelum sebarang keputusan untuk membuat pindaan perlembangan berhubung perkara itu.-- Bernama

Tiada ulasan: