BERNAMA
Bekas
Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan
gagal dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan mensabotaj
perkhidmatan perbankan dan kewangan negara yang dihadapinya.
Ini berikutan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Nordin
Hassan membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan
Khairuddin itu.
Nordin dalam alasan penghakimannya berkata asas yang dikemukakan oleh
Khairuddin adalah Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kuasa yang
sah sebagai Peguam Negara ketika dia didakwa pada 12 Okt 2015.
"Bagaimanapun, mahkamah ini tidak ada bidang kuasa untuk menentukan
kesahan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara kerana
pelantikan tersebut adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas
nasihat perdana menteri," katanya.
Beliau berkata pelantikan itu termaktub dalam Perkara 145
Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah kuasa yang tidak boleh
dipersoalkan atau diadili oleh mahkamah.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak terhadap bantahan awal pendakwaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas
berhujah bahawa Khairuddin telah menyalahgunakan proses mahkamah apabila
memfailkan notis usul untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya atas
alasan pelantikan peguam negara selaku pendakwa raya adalah tidak sah,
sedangkan pelantikan itu bukan bidang kuasa mahkamah.
Katanya permohonan itu bukan suatu perkara yang boleh diadili oleh
mahkamah dan bersifat pramatang kerana terdapat rayuan oleh pendakwa
terhadap kes Khairuddin yang belum didengar.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin berkata
notis usul yang dikemukakan adalah berhubung kesahihan pertuduhan
terhadap pemohon yang sepatutnya dikemukakan oleh seorang peguam negara
yang sah.
Beliau berkata Mohamed Apandi tidak mempunyai kuasa yang sah sebagai Peguam Negara ketika anak guamnya didakwa pada 12 Okt 2015.
Khairuddin dalam permohonannya, memohon perintah mahkamah supaya
pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan
dibatalkan dengan serta-merta atas alasan ia dikemukakan tanpa mana-mana
kuasa pendakwaan yang sah oleh peguam negara menurut Perkara 145
Perlembagaan Persekutuan.
Khairuddin juga memohon beliau dilepaskan serta-merta daripada
pertuduhan itu selain memohon lain-lain perintah yang dianggap sesuai
oleh mahkamah.
Pada 12 Okt 2015, Khairuddin, 54, dihadapkan di mahkamah bersama-sama
peguam Matthias Chang Wen Chieh, 66, atas dakwaan cuba melakukan
sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima
lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.
Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan
Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United
Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan,
Hong Kong; dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.
Pada 18 Nov 2015, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan pertuduhan
mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah
Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), dan
membebaskan Khairuddin serta Chang masing-masing dengan jaminan RM10,000
dan seorang penjamin serta memerintahkan kes itu didengar di Mahkamah
Sesyen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan