Isnin, 9 Disember 2013

Wang RM30 juta lesap


Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD 


KUALA TERENGGANU: Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah mendesak Kerajaan BN Terengganu memberikan penjelasan ten tang wang rakyat RM30 juta yang dianggap lesap.

Desakan itu, kata Tengku Ibrahim ditujukan kepada Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said melalui suratnya bertarikh 6 November 2013, lalu hingga kini tanpa jawapannya.

Menurutnya, isu pemberian 12,000 ekar tanah hutan kepada 12 buah syarikat kilang papan di Terengganu menjadi “hangat” apabila melibatkan wang rakyat RM30 juta.

Katanya, meski pun perkara tersebut telah dibangkitkan oleh rakyat Terengganu sebelum PRU13, tetapi tidak ada penjelasan dari kerajaan negeri.

“Saya ada tulis surat untuk mendapatkan penjelasan kepada MB Terengganu (Dato’ Seri Ahmad) pada 6 November (2013) lalu mengenai kawasan kayu balak 12,000 ekar dan wang pembayaran sebanyak RM30 juta.

“Pemberian 12,000 ekar tanah balak oleh Kerajaan Terengganu kepada 12 buah kilang-kilang papan di Terengganu, melalui surat rujukan Bil.(55) dalam PHNT (SULIT) 62/SK 1/BHG 7 bertarikh 17 Julai 2012.

“Apa yang menimbulkan persoalan iaitu setiap buah syarikat kilang papan itu dipaksa membayar RM2.5 juta kepada sebuah syarikat peguam di Kuala Lumpur sebelum tanah balak itu diberikan kepada mereka (pengusaha),” jelasnya kepada Harakah di pejabatnya, 4 Disember lalu.

Menurutnya, setiap buah syarikat kilang terbabit telah diberikan kawasan hutan balak seluas 1,000 ekar dengan pembayaran yang ditetapkan itu.

Kata Tengku Ibrahim, jumlah yang telah dibayar kepada syarikat guaman tersebut berjumlah RM30 juta.

“Saya dukacita, saya ingin tahu dan rakyat Terengganu juga berkehendakkan jawapan dan penjelasan kenapa wang RM30 juta itu dibayar kepada pihak syarikat guaman dan atas dasar apa wang itu disalurkan kepada pihak yang tidak ada kaitan dengan pemberian kayu balak kepada 12 buah syarikat kilang papan itu.

“Saya berpendapat bahawa wang RM30 juta itu adalah satu pembayaran berbentuk rasuah dan salah laku yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan di sekeliling Menteri Besar,” tegasnya.

Justeru itu, beliau turut mendesak Ahmad agar segera menyerahkan kes skandal balak tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, tindakan melalui SPRM itu penting bagi siasatan menyeluruh ke atas skandal balak berkenaan serta mendakwa pihak yang bersalah ke muka pengadilan mahkamah.

Harakah dimaklumkan, empat persoalan yang dituntut oleh Tengku Ibrahim kepada MB Terengganu berkaitan skandal wang balak berjumlah RM30 juta tersebut.

“Pertama, siapakah yang mengarahkan wang RM30 juta itu dibayar oleh 12 buah (syarikat) kilang papan kepada peguam yang menyediakan perjanjian.

“Kedua, rakyat mahu tahu ke manakah wang (RM30 juta) ini disimpan dan untuk tujuan apa wang itu dibayar.

“Ketiga, wang (RM30 juta) ini harus dibayar kepada khazanah negeri Terengganu atau kepada Jabatan Perhutanan Negeri (Terengganu) sebab wang ini adalah wang rakyat dan perlu Dato’ Seri (Ahmad Said) memberi penjelasan di atas pembayaran ‘haram’ ini.

“Dan keempat, adalah mustahil dan tidak masuk akal Dato’ Seri Ahmad selaku MB Terengganu tidak tahu menahu wang RM30 juta ini dibayar kepada pihak peguam,” soalnya melalui surat tersebut.

Harakah difahamkan, surat Tengku Ibrahim tersebut turut dihantar salinannya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya dan SPRM Cawangan Terengganu.

Tiada ulasan: