Sabtu, 21 Disember 2013

Tahniah Reezal, anda tidak mudah lupa seperti Najib

MOHD ZAKI ZAKARIA


Melayu mudah lupa, ini ungkapan bekas Perdana Menteri kerajaan BN Tun Mahathir satu ketika dahulu sewaktu masih memegang jawatan PM. Ungkapan ini dihambur beliau melalui sajaknya diakhir ucapan di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2001.

Beliau menggambarkan kekecewaan kerana orang-orang Melayu mula tidak memberi undi kepada BN dalam pilihanraya umum selepas gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, Mahathir sendiri buat-buat lupa kenapa rakyat khususnya orang Melayu ramai meninggalkan BN sewaktu senja pemerintahanya. Inilah sikap pelupa BN. Mereka lupa, tetapi menuduh orang lain lupa kepadanya.

Sikap ini terus diwarisi oleh BN turun temurun sehingga sekarang. BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib suami kepada Kak Rosmah yang terkenal itu telah mula lupa AKUJANJI yang dibuatnya dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu. Tidak sampai 8 bulan BN mengeluarkan janji, sekarang janji tinggal janji.

Apakah Akujanji BN? BN melalui manifesto PRU13 di bawah tajuk Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar, akan mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat.

Anda boleh rujuk muka depan Sinar Harian edisi Kelantan bertarikh 19 Disember 2013 diutarakan oleh ahli parlimen BN sendiri iaitu Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Nampaknya Reezal cuba mengingatkan Najib supaya jangan lupa janji itu.

Namun, Najib dalam kenyataan terbarunya mengatakan harga tol tetap akan dinaikkan dengan alasan kerana sebahagian perjanjian dengan syarikat konsesi. Inilah sikap pelupa BN.

PRU13 baru sahaja berlalu, dan janji BN bagaikan masih terngiang di telinga tetapi mereka tidak malu.

Kalaulah boleh diibaratkan sepasang kekasih yang berjanji sehidup semati dan telah berkahwin, tiba-tiba tak sampai 8 bulan pasangan dah buat onar, sudah tentu mereka tidak ikhlas dengan janji-janjinya. Janji yang ditabur adalah palsu sekadar ingin mendapatkan hajat diri.

Begitulah dengan sikap pelupa BN yang mudah menaburkan janji-janji palsu semata-mata untuk menang dalam pilihanraya.

Adakah betul kerajaan tidak boleh menyekat kenaikan kadar tol disebabkan kenaikan merupakan sebahagian perjanjian dengan syarikat konsesi?

Sebenarnya kerajaan BN itu sendiri yang lemah kerana membuat perjanjian yang berat sebelah. Akibatnya, beban ini ingin dihumban ke bahu rakyat.

Siapakah pula pemilik syarikat konsesi tol?

Tiga pemegang konsesi lebuhraya terbesar iaitu Projek Lebuhraya Selatan (PLUS), Prolintas dan Gamuda dimiliki oleh syarikat milik kerajaan GLC. PLUS dikuasai oleh Khazanah dan KWSP manakala Prolintas anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tidakkah kerajaan boleh mengelakkan kenaikan kadar tol melalui GLC yang dikuasainya?

Kerajaan boleh merombak dan mengkaji semula perjanjian itu. Kalaulah AES milik swasta kerajaan boleh mengambil alih, inikan pula syarikat yang sudah dimilikinya.

Rakyat seluruhnya wajib bangkit membantah kenaikan harga tol ini kerana ia merupakan pakej lengkap kepada kenaikan-kenaikan yang telah diumumkan oleh PM bermula dengan kenaikan minyak, caj elektrik, diikuti dengan harga tol, kos pengangkutan dan banyak lagi yang akhirnya menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan.

Bagi masyarakat bandar, bayaran tol yang sedia ada sudah banyak membebankan mereka. Bayangkan mereka perlu berhabis duit tidak kurang RM15 sehari untuk bayaran tol sahaja tak termasuk kos petrol untuk ke tempat kerja. Dengan kenaikan ini, saya kira amat-amat membebankan mereka dan kita akan tempias sama.

Apapun Tahniah kepada Reezal kerana beliau tidak mudah lupa seperti Najib dan pemimpin-pemimpin lain dalam BN.

(*)  Penulis ialah Ketua Unit Media Baru, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Tiada ulasan: