Sabtu, 7 Disember 2013

Sumbangan tersekat ekoran beberapa kawasan lumpuh akibat banjir buruk

Oleh : Norhayati Umor


GOMBAK  : Kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan lori daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kerja Raya dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk kerja penghantaran bahan keperluan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, setakat ini banyak sumbangan orang ramai dihantar ke balai raya, pejabat, surau dan masjid.

yb iskandar 3 edit
 
Katanya, sumbangan itu masih belum dapat dilaksanakan ekoran banyak kawasan sekitar negeri lumpuh ekoran banjir buruk yang melanda beberapa kawasan.

“Kita sedang berbincang dengan Menteri Besar untuk mendapatkan lori daripada pihak tertentu supaya bahan keperluan seperti makanan yang sudah terlalu banyak dapat segera dihantar dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Selangor yang prihatin dengan menghantar sumbangan ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Flag Off bantuan banjir, di sini, hari ini.

Dalam konvoi kumpulan pertama PAS Selangor itu, lebih 50 kereta dan empat lori mula bertolak ke negeri Pahang dan Terengganu dengan bahan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, konvoi itu turut disertai 100 kereta, 30 lori dan sebuah kontena yang sudah bergerak ke negeri terbabit, malam semalam.

“Kira-kira 200 petugas ditugaskan di Pahang dan Terengganu dan kita menjangkakan 80 hingga 100 tan bahan keperluan dapat dihantar ke sana, bahkan akan menambah keperluan jika masih belum mencukupi,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: