Jumaat, 20 Disember 2013

SPAD cadang bas awam dipasang GPS

THE MALAYSIAN INSIDER
 



























Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan semua bas awam dilengkapkan dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi mengelakkan kenderaan itu dipandu laju.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata setakat ini hanya beberapa syarikat bas seperti Rapid Bus Sdn Bhd telah berbuat demikian bagi memantau kelajuan pemandu mereka di jalan raya.

"Kita memerlukan kerjasama dan kesanggupan semua syarikat bas dalam memasang GPS di dalam bas mereka.

"Sistem GPS ini akan dihubungkan kepada pusat kawalan supaya tindakan terhadap pemandu yang melanggar undang-undang lalu lintas boleh dipantau dan tindakan susulan boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Sentral Kuantan hari ini.

Syed Hamid berkata sebagai contoh, negara China menggunakan satu sistem pemantauan terhadap pemandu pengangkutan awam mereka bagi memastikan pemandu tidak memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan.

Katanya sekiranya seorang pemandu keretapi didapati memandu melebihi had laju, pusat kawalan akan dimaklumkan dan langkah segera akan diambil bagi mengurangkan kelajuan keretapi tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pengusaha syarikat bas awam untuk membincangkan cadangan pemasangan GPS dan ia mendapat maklum balas positif.

Sementara itu, Syed Hamid berkata SPAD akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menetapkan tambang minimum bas sekolah.

Katanya kajian terperinci terhadap keputusan membabitkan kenaikan tambang bas sekolah juga perlu dilakukan kerana dibimbangi boleh membebankan ibu bapa.

"Kita akan kemukakan cadangan kepada kerajaan untuk harga lantai atau kadar minimum untuk berlaku adil kepada semua pihak.

"Pada masa sama, ibu bapa dan pemilik bas sekolah juga perlu berbincang untuk mendapatkan persetujuan tambang yang perlu dibayar, namun tidaklah di bawah harga lantai yang ditetapkan SPAD nanti," katanya.

Syed Hamid berkata persetujuan kadar tambang bas sekolah antara ibu bapa dan pengusaha adalah penting dalam usaha membendung kegiatan kereta sapu atau bas sekolah haram yang boleh membahayakan nyawa pelajar kerana tidak mengikut spesifikasi keselamatan ditetapkan SPAD. - Bernama,

Tiada ulasan: