Sukan SEA 2013  
Sukan SEA 2013


SKUAD sepak takraw negara hari ini meminta maaf kepada media atas insiden pengurus pasukannya Mohd Fareed Moh Norden cuba menyerang seorang wartawan media cetak Malaysia di Sukan SEA ke-27 di Naypyitaw semalam.

"Bagi pihak pasukan, saya memohon, saya mohon maaf kepada media," kata jurulatih Jamaluddin Hassan.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku. Lagi pun selama ini wartawan banyak membantu memberi publisti kepada sukan sepak takraw.

"Kita ambil dari segi positif terhadap kritikan yang bukan sahaja oleh wartawan tetapi peminat sukan sepak takraw," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada media yang banyak membantu melaporkan perkembangan sukan berkenaan selama ini, Jamaluddin menyifatkan perkara itu mungkin disebabkan salah faham.

Insiden kekecohan itu tercetus sejurus perlawanan akhir acara regu yang menyaksikan trio negara, Izurin Refin, Mohd Hanafiah Dolah dan Mohd Muqlis Borhan tewas kepada trio Thailand, semalam.

Dalam kejadian di bilik pasukan Malaysia itu, wartawan berkenaan cuba mendapatkan ulasan kekalahan trio negara daripada Jamaluddin tetapi pengurus pasukan terbabit yang berada di sebelah dan sedang makan tiba-tiba naik angin serta cuba menyerangnya.

Difahamkan, tindakan pegawai terbabit itu adalah kerana tidak berpuas hati dengan laporan isu duit poket RM200 diberikan oleh Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kepada pemain sepanjang 12 hari di sini selain kritikan keras terhadap prestasi buruk pasukan dalam acara berpasukan.

Dalam pada itu, ketua kontinjen negara Datuk Wira Amiruddin Embi berkata beliau sudah meminta pengurusan pasukan itu mengemukakan laporan berhubung insiden tersebut.

"Saya akan lihat maklumat daripada kedua-dua pihak," katanya bahawa pada masa ini adalah terlalu awal untuk menentukan tindakan terhadap pengurus pasukan terbabit. - Bernama