Jumaat, 6 Disember 2013

Siapa yang nak betulkan UMNO itu, takkan pimpinan sekarang?

ASPAN ALIAS


UMNO sudah tidak tentu arah dan tidak mempunyai hala tuju perjuangan yang meyakinkan. Sesebuah pertubuhan itu hanya berubah samada untuk kebaikan atau sebaliknya kerana sikap dan nilai mereka yang memimpinnya. Saya tidak bersetuju sesiapa yang mengatakan UMNO itu tidak baik. UMNO itulah yang telah membina negara selama ini bersama rakan-rakan kongsi dalam Perikatan dan BN.

Tetapi UMNO itu kian jatuh dan lemah kerana manusia yang memimpinnya. Manusia yang menjadi pemimpinnya sekarang sudah hilang segala pedoman bagaimana hendak melangsungkan perjuangan parti itu, maka kian hari parti itu di ketepikan dari pemikiran dan sokongan ramai.

Baju dan pakaian walaupun berharga murah tetapi jika si pemakainya mempunyai kedudukan dan dihormati, pakaian yang murah tadi akan nampak mahal dan berharga. Tetapi jika sipemakainya itu tidak baik dan tidak senonoh, pakaian yang mahal sekali pun akan nampak murah. Wanita yang langsing tubuhnya dan jinjang lehernya akan nampak anggun jika memakai pakaian yang tidak berapa mahal. Sebaliknya kepada wanita yang rendah, pakailah pakaian secantik dan mahal mana pun pakaian itu akan tetap nampak murah.

Begitu juga pertubuhan-pertubuhan termasuk parti politik akan dihormati jika pertubuhan itu dipimpin oleh manusia yang dihormati dan disanjung. Dulu-dulunya pemimpin setiap peringkat UMNO dihormati tetapi tidak lagi sekarang ini, kerana pemimpin-pemimpinnya tidak menjaga diri mereka dengan baik yang bersesuaian dengan kehendak niat dan matlamat pertubuhan itu.

Dulu pimpinan  UMNO sangat dihormati kerana manusia dan rakyat memahami nilai seseorang atau kumpulan pemimpin itu. Dulunya UMNO berjuang dan nampak hasilnya secara ‘organic’ dan menjadi contoh kepada banyak negara membangun yang lain tetapi sekarang ini pemimpin-pemimpin UMNO mempunyai ‘stigma’ buruk seperti rasuah yang tidak boleh tanggal lagi selagi parti itu dipimpin oleh pemimpin yang berimejkan elemen negatif.

Keruntuhan nilai pemimpin kita diketahui masyarakat antarabangsa dan banyak individu yang menulis tentang pimpinan kita secara terbuka dikhalayak antarabangsa. Ini bukan isu dan masalah kecil buat negara. Tetapi kita masih lagi membiarkan isu negatif terhadap pimpinan kita seolah-olah itu adalah isu biasa yang tidak perlu diambil hal dan dipedulikan.

Sekarang UMNO sedang bertungkus lumus untuk memperbaiki persepsi ramai terhadapnya dan menganggap PRU ke 14 sebagai pilihanraya yang lebih sengit dari pilihanraya umum yang baru lepas ini. Tetapi kita sendiri telah melihat bagaimana penampilan TS Muhyidin dan Najib dalam ucapan kedua-duanya setakat ini dalam perhimpunan sayap parti itu dengan ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO pagi tadi.

Tiada apa yang lainnya dalam ucapan Najib dengan ucapan harian beliau di mana-mana. Ibarat pakaian apa yang Najib pakai hari ini hanya baju basahan yang dipakainya setiap hari di rumah. Tiada yang baru dan tiada yang menakjubkan selain dari tepukan dari perwakilan yang sememangnya dijemput ke Dewan Persidangan untuk bertepuk tangan dan mendengar jenaka mega tahunan selama empat hari itu.

Sememangnya tidak ada yang lain dari apa yang beliau sebutkan selalu. Ucapan itu hanya merupakan ucapan-ucapan yang dikumpul dan disusun semula untuk dijadikan satu ucapan perasmian Perhimpunan Agung itu.

Saya tidak dapat mendengar ucapan beliau sampai kepenghujung ucapan beliau kerana saya telah tertidur agak agak ucapan beliau sudah sampai ke70 peratus. Saya terkilan kerana tidak sempat hendak menyaksikan bagaimana perwakilan bangun dan memberikan tepukan gemuruh seperti yang berlaku sejak beberapa dekad dahulu.

Apa hasilnya dari ucapan Presiden UMNO itu pagi tadi? Saya pun tidak dapat untuk mengagaknya. Tetapi satu yang pasti, persepsi rakyat tentang sinonim rasuah dan pemimpin yang tidak boleh dipercayai tetap wujud. Seperti yang saya katakan selalu dahulu, pemimpin UMNO dan rasuah itu adalah seperti 'aur dengan tebing', saling memerlukan diantara satu dengan yang lain.

Tidak ada tanda-tanda yang meyakinkan yang Presiden UMNO dan barisan pimpinan teratas itu telah sedar yang mereka tidak lagi dihormati kerana mereka sedang menghadapi krisis keyakinan yang sangat hebat.

Tidak tahulah jika perwakilan yang melebihi 5 ribu orang itu dapat mengingatkan pimpinan diatas pentas itu tentang betapa tidak berkeyakinan rakyat ramai yang mendengar ucapan Presiden itu.  Berikan cadangan untuk meminta barisan pimpinan itu berundur dan mengganti barisan pimpinan yang baru yang lebih meyakinkan rakyat ramai bukannya setakat meyakinkan ahli-ahli UMNO yang menjadi perwakilan sahaja.

Orang yang hendak melakukan perubahan dan membaik pulih keadaan mestilah dari orang atau barisan yang tidak terlibat memusnahkan perkara yang hendak dipulihkan itu. Bagaimana Najib dan keseluruhan pimpinan itu hendak memulihkan keadaan itu, sedangkan keadaan yang mesti dipulihkan itu ada lah hasil kerja mereka sendiri.

Jika mereka ditugaskan untuk membetulkan kembali kerosakkan itu, nescaya ia akan bertambah buruk lagi hasilnya. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya dari Afrika berkata, “If you want to break anything give it to the African to do the job, and if you want to make it worst, again, give it to the African to fix it back”.

UMNO sudah begitu sinonim dengan kerosakkan negara, walaupun parti itu pernah membina negara dengan begitu baik. Apa yang telah dibangunkan oleh pimpinan UMNO yang baik dahulu sudah dirosakkan oleh pimpinan hari ini. Pimpinan UMNO hari ini merupakan kumpulan yang sentiasa mengamalkan ‘vandalism’ terhadap negara.

Semua sistem bernegara telah ranap dan institusi demokrasi telah terlacur dan semua rakyat termasuk mereka yang memimpin sekarang sudah hilang segala hala tuju perjuangan dan tanggungjawab mereka. Rakyat menjadi mangsa mereka dan rakyat pula yang menanggung segala kemudharatan hasil dari perlakuan orang-orang yang memimpin UMNO itu.

Bagaimana kita harus percaya janji-janji mereka untuk melakukan transformasi terhadap politik dan negara itu? Kalau kita padankan dengan perbilangan untuk orang Afrika tadi, ia akan berbunyi seperti berikut, ‘kalau hendak melihat kerosakkan, berikan kepada UMNO tanggungjawab itu, kalau hendak melihat kerosakkan yang lebih teruk lagi, berikan juga kepada UMNO untuk membetulkannya’.

Tiada ulasan: