Selasa, 10 Disember 2013

Rusuhan Di Singapura: Warga Malaysia Dibebaskan, 24 Lagi Didakwa




Perusuh bertindak ganas ketika rusuhan di Little India, malam Ahad.
 

PETALING JAYA: Polis Singapura telah membebaskan seorang warga Malaysia yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penglibatan dalam rusuhan di Little India, malam Ahad.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob berkata, mereka telah dimaklumkan oleh polis Singapura mengenai perkara itu pada Selasa tetapi tiada maklumat terperinci diberikan.

"Kami bertanya maklumat lanjut mengenai lelaki itu, apa yang dilakukannya tetapi polis memberi jaminan untuk memberikan maklumat kemudian," kata Husni ketika dihubungi.

Mengulas mengenai lima warga Malaysia yang mendapat status penduduk tetap yang bekerja sebagai polis bantuan dengan syarikat keselamat di republik itu, Husni berkata, mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan keluar hospital dan sudah kembali bekerja.

Wisma Putra dalam kenyataan awal pagi Selasa berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan menghulurkan bantuan konsular yang perlu kepada rakyat Malaysia yang terjejas dengan diselaraskan bersama pihak berkuasa Singapura.

Kementerian Luar turut mengingatkan rakyat Malaysia yang melawat negara itu, bekerja atau menetap di luar negara supaya menghormati undang-undang negara lain sama seperti rakyat Malaysia mengharapkan warga asing yang tinggal di sini untuk mematuhi undang-undang negara ini.

Dilaporkan kira-kira 27 lelaki warga Asia Selatan ditahan ketika rusuhan itu yang berpunca apabila seorang pekerja India maut dilanggar sebuah bas persendirian di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire.

Sementara itu, 24 orang yang didakwa terlibat dalam rusuhan itu dihadapkan ke mahkamah pada pagi Selasa, lapor Straits Times Singapura.

Tiada ulasan: