Jumaat, 6 Disember 2013

ROS tidak patut campur urusan DAP – Anthony Loke

pix for wawancara anthony loke DALAM


KUALA LUMPUR- Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak sepatutnya campur tangan dalam sebarang keputusan yang dibuat parti itu.

Beliau mengulas dakwaan bekas Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik semalam bahawa ROS dalam satu surat kepadanya menyatakan, Jawatankuasa Interim DAP Kedah tidak sah dan beliau masih memegang jawatan itu.

Pada 30 September lalu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP melantik Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai Pengerusi Interim DAP negeri itu.

Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, beliau terkejut apabila ROS merasakan sesuai untuk mengeluarkan surat mencabar dan mempertikaikan CEC yang diundi dengan sah ketika Kongres Khas DAP 29 September lalu.

“Tambahan pula, tindakan ROS sangat tidak profesional kerana sehingga hari ini, kami belum menerima apa-apa surat berhubung hal itu (pemilihan semula).

“Saya sudah minta Pengerusi Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo untuk meneliti perkara itu dan jika perlu tindakan undang-undang akan diambil untuk mencabar keputusan ROS yang tidak mengikut undang-undang itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Aik juga dilaporkan mendakwa CEC tidak memiliki kuasa untuk melantik jawatankuasa itu dan mengadakan mesyuarat cawangan sebagai melanggar perlembagaan parti.

Mengulas dakwaan itu, Anthony Loke menegaskan, pelantikan itu mengikut Fasa XIV Perlembagaan Parti.

“Seksyen 11 (Fasal itu) menyatakan, ‘CEC mempunyai kuasa untuk membubarkan mana-mana Jawatankuasa Negeri jika berpuas hati ia memudaratkan kepentingan dan imej baik parti.

“Seksyen 12 menyatakan, ‘Selepas pembubaran, CEC akan membentuk Jawatankuasa Interim dan melantik anggotanya secepat mungkin dalam masa enam bulan selepas pembubaran,” katanya lagi.

Justeru itu, katanya lagi, tidak patut timbul keraguan berhubung perkara itu kerana pelantikan itu adalah mengikut bidang kuasa CEC.-Roketkini.com

Tiada ulasan: