Khamis, 12 Disember 2013

RM1.2 trilion aliran wang haram, PM patut letak jawatan – Rafizi

Oleh : Norhayati Umor


SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak didesak meletakkan jawatan ekoran jumlah aliran wang haram yang begitu tinggi seterusnya membuktikan Najib tidak berupaya menjawat Menteri Kewangan.

rafizi duit 01

Gesaan itu dibuat oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ekoran Malaysia ketika ini menjadi ‘juara dunia’ korupsi dengan USD370.38 bilion (RM1.2 trilion) aliran wang haram ke luar negara antara 2002-2011 hasil daripada jenayah, rasuah dan pengelakan cukai.

Malaysia juga mencatatkan sejumlah RM173.84 bilion (USD54.18 bilion) aliran keluar wang haram dari Malaysia pada tahun 2011, keempat paling teruk di dunia.

Rafizi berkata, laporan Global Financial Integriti (GFI) ‘Aliran Wang Haram di Kalangan Negara Membangun 2002 hingga 2011′ iaitu Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002 – 201 mengesahkan bahawa ada kaitan rapat di antara rasuah dan jumlah aliran wang haram yang keluar dari sesebuah negara.

“Ini adalah salah satu daripada kesimpulan paling utama yang dibuat di dalam laporan terkini yang dikeluarkan semalam. Dalam mukasurat (xi) laporan itu menyatakan bahawa “..The panel data regressions also show that an increase in corruption increases trade misinvoicing..”

“Kesimpulan ini dibuat berdasarkan analisa empirikal data-data kewangan dari semua negara yang terbabit termasuklah Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, laporan GFI juga mengandungi jawapan kepada beberapa persoalan teknikal yang dikemukakan oleh pihak tertentu termasuk Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia (BNM) yang sebelum ini mempersoalkan kaedah yang digunakan.

Katanya, selepas menggunakan kaedah analisa yang lebih baik, laporan itu juga menyanggah kenyataan Kerajaan Malaysia BNM yang menyalahkan ketepatan statistik bagi menerangkan jumlah aliran wang haram yang besar.

“Seterusnya, dengan jawapan dan kaedah baru yang diguna pakai oleh GFI, Kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai alasan untuk menafikan kesimpulan yang dibuat oleh GFI.

“Jumlah-jumlah wang haram itu bertepatan dengan bukti-bukti semasa seperti yang rakyat semua tahu.

“Antaranya, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun melaporkan pelbagai perlakuan rasuah dan penyelewengan yang melibatkan wang rakyat tidak berkurang malah jumlahnya bertambah setiap tahun,” katanya.

Rafizi berkata laporan urusniaga di luar negara seperti London juga mengesahkan terdapat pelbagai urusniaga mewah sejak kebelakangan ini.

Beliau menyifatkan kedudukan Malaysia di tangga ke empat tertinggi di dunia juga selari dengan kedudukan kewangan semasa negara yang menunjukkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut.

“Oleh itu, Najib perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan kerana jumlah ini terlalu tinggi malah kedegilan Najib akan merencatkan kemajuan ekonomi negara seterusnya berterusan menekan rakyat,” katanya.EZY

Tiada ulasan: