Selasa, 3 Disember 2013

Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 ganti RSN 2020

Oleh : Lizawati Madfa


SHAH ALAM  : Kerajaan negeri sedang menyediakan Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor (RSNS) 2035 yang bakal menggantikan RSN Selangor 2020.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata RSNS 2035 adalah kajian perancangan bersepadu yang membabitkan 20 sektor perancangan selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172.

06

 Iskandar berkata, perancangan RSNS 2035 meliputi sektor pengangkutan dan lalu lintas, perumahan, guna tanah fizikal, perniagaan dan perkhidmatan, perindustrian, pelancongan, kemudahan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan infrastruktur serta utiliti.

“Kajian sudah dimulakan, pada 4 Jun 2012 dengan beberapa siri bengkel dan mesyuarat teknikal serta pemandu diadakan bersama agensi juga jabatan kerajaan termasuk negeri bersempadan.

“Perbincangan ini bagi memastikan penyediaan kajian RSNS 2035 menepati keperluan semasa dan lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi penggulungan menjawab perkara yang dibangkitkan R Rajiv (DAP-Bukit Gasing) berkenaan RSNS, di Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Iskandar (PAS-Cempaka) berkata, kajian semula RSNS 2035 itu akan mula dibuka kepada orang awam dan pihak berkepentingan, pada Mac 2014.

“Ia bagi mendapatkan pandangan, maklum balas, cadangan atau bantahan berhubung RSNS dalam tempoh sebulan selaras dengan Akta 172.

“Apabila diwartakan, RSNS 2035 akan menjadi rujukan utama untuk usaha memacu perancangan fizikal dan membantu pertumbuhan ekonomi Selangor sehingga 2035,” katanya.

Tiada ulasan: