Sabtu, 7 Disember 2013

PR sokong memorandum SAMM bantah kenaikan tarif bil ASTRO

Oleh : Afeeqa Afeera


KUALA LUMPUR  : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memberi sokongan penuh terhadap memorandum Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berhubung bantahan kenaikan tarif bil stesen berbayar ASTRO yang didakwa sangat melampau.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata memorandum “Hentikan segera monopoli syarikat Astro” itu diserahkan SAMM untuk pertimbangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta seluruh Ahli Dewan Rakyat.

boikot-astroMemorandum itu dipetik sebagai berkata ASTRO tidak layak menaikkan bil sesuka hati atas pelbagai faktor, ditambah sikap kerajaan pusat yang didakwa tidak mempedulikan rintihan rakyat yang terpaksa mengharungi kerenah stesen berkenaan.

“Memo ini menegaskan bahawa ASTRO tidak layak menaikkan tarif kerana tayangan filem dan drama yang berulang-ulang setiap bulan hampir sepanjang tahun, kekerapan dan durasi iklan yang semakin tinggi serta siaran sering tergendala akibat hujan,” katanya.

Memorandum itu turut disokong wakil rakyat lain antaranya Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa.

Kandungan memorandum itu antara lain menggesa kerajaan supaya membenarkan lebih daripada satu siaran berbayar beroperasi di negara ini untuk memberi pilihan kepada pelanggan, selain menjana persaingan sihat.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, India mempunyai enam operator televisyen berbayar sama seperti di Indonesia, manakala Australia mempunyai tiga operator.

“Harganya juga jauh lebih rendah berbanding di Malaysia. Monopoli ASTRO ternyata hanya menguntungkan kroni dan merugikan rakyat, apatah lagi perkhidmatannya sangat tidak memuaskan,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: