Howard menunjukkan Manifesto PR tertera dasar yang didakwa diciplak untuk pembentukan konsultasi awam RKK Pekan Ipoh.


IPOH –Wakil rakyat PR mendakwa dipinggirkan dan tidak diberi peluang untuk menyumbangkan pandangan dalam pembentukan konsultasi awam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pekan Ipoh yang diadakan baru-baru ini.

Adun Pasir Pinji, Howard Lee berkata, inisiatif BN mengambil dasar utama PR yang termaktub dalam Manifesto PR pada PRU lalu amat dialu-alukan tetapi beliau kecewa kerana orang awam tidak dilibatkan.

"Sepatutnya pelan rancangan besar seperti itu dipamerkan di tempat awam dan jika fokus kepada pelancongan, pameran itu perlu dibawa ke kawasan ramai pelancong supaya mereka boleh menelitinya.

“Perkara ini telah dilaksanakan oleh Penang Institute dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mempamerkan pelan induk pembangunan untuk 10 tahun akan datang di pasar raya, bukan sahaja di Pulau Pinang malah di Kuala Lumpur," katanya.

Howard berkata, pelan tersebut akan lebih sempurna melalui pindaan dicadangkan oleh orang awam yang akan mempunyai perasaan kepunyaan terhadapnya.

Beliau berkata, beliau kecewa kerana pada asalnya PR yang mencadangkan perbincangan dan dasar-dasar inovatif mengenai desentralisasi serta penglibatan awam daripada segi pembuatan dasar.

Katanya, walaupun tidak dijemput pada pameran tersebut, beliau dan beberapa pakar dalam bidang tertentu tetap akan memberi maklum balas terhadap cadangan serta rancangan dipamerkan.

“Saya harap pihak berkenaan pada masa akan datang, jika terdapat program atau aktiviti melibatkan kepentingan awam sesuatu kawasan, jangan lupa untuk menjemput wakil rakyat walaupun fahaman politik berbeza,” katanya.