Pindah kubur kerana banjir  
Penduduk mengusung jenazah untuk urusan memandikan dan pengebumian, dekat Masjid Gual Periok, semalam.


RANTAU PANJANG - Urusan pengebumian jenazah seorang warga emas di Kampung Tasik Hulu, semalam. hampir tergendala apabila kawasan itu masih dilanda banjir.

Jenazah Allahyarham Samid Ghani, 86, terpaksa dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Gual Periok kerana kubur terdekat di Rantau Panjang ditenggelami air sedalam 0.4 meter.

Menantunya, Mohd Noor Abu Bakar, 50, berkata, mereka juga terpaksa mengubah lokasi ke masjid untuk urusan memandikan jenazah di Masjid Gual Periok yang terletak lapan kilometer dari pekarangan rumah.

“Selepas buntu memikirkan masalah ini, kami bersyukur kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang menyalurkan bantuan untuk membawa jenazah ke lokasi baru,” katanya, semalam.

Mohd Noor berkata, arwah bapa mentuanya meninggal dunia di rumah kerana penyakit tua, jam 6.30 pagi semalam.

Sebelum itu katanya, kaki kanan arwah terpaksa dipotong kerana penyakit saraf setelah mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Arwah meninggalkan seorang balu, 41 cucu dan 20 cicit.

Dalam pada itu, Mohd Noor turut berterima kasih kepada pihak Masjid Gual Periok kerana membantu mengurus jenazah bapa mentuanya sehingga selesai urusan pengebumian.