Sabtu, 7 Disember 2013

Permohonan lesen premis burung walit dibuka

Oleh : NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM  : Orang ramai yang berminat untuk membuat permohonan lesen premis penternakan perusahaan burung walit perlu mematuhi beberapa syarat antaranya tempoh matang menamatkan perusahaan itu di bangunan perniagaan selama tiga tahun dan tujuh tahun di kawasan sawah padi.

Pengarah Jabatan Komunikasi Dan Pengaduan Awam Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz, berkata pengusaha burung walit yang berpindah ke tanah pertanian akan diberi insentif selama lima tahun dan dikecualikan daripada membayar lesen, cukai tanah dan cukai taksiran.

Norfiza-Mahfiz-(MPK)Katanya, tempoh yang diberikan kepada pengusaha burung walit untuk memohon lesen kepada majlis adalah sehingga 31 Dis ini dan pengusaha perlu memperbaharui lesen setiap tiga tahun bagi yang beroperasi di kawasan sawah.

“Permohonan burung walit adalah untuk pengusaha yang beroperasi sebelum 31 Julai lalu dan hanya permohonan yang sudah didaftarkan dengan majlis sebelum 31 Disember ini sahaja layak memohon.

“Selain daripada itu, antara lokasi yang dibenarkan adalah kawasan sawah padi dan komersial, manakala kawasan yang dilarang bagi operasi burung walit adalah kawasan perumahan,rumah kedai, premis yang pernah mendapat aduan dan lokasi yang termasuk di dalam zon 10 kilometer radius daripada landasan penerbangan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Norafiza berkata, tempoh pemberian lesen bagi kawasan komersial adalah tiga tahun bermula 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2016, manakala kawasan sawah padi pula selama tujuh tahun bermula 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2020.

Beliau berkata, pembaharuan lesen secara tahunan bagi kawasan sawah padi boleh dibuat setiap tiga tahun dan MPK menetapkan bayaran bagi keluasan tidak melebihi 130 meter persegi berjumlah RM720, manakala setiap tambahan 25 meter persegi atau sebahagiannya berjumlah RM100.

Bagi mereka yang berminat, borang permohonan burung walit boleh didapati di Tingkat 3, Jabatan Perlesenan dan Penjaja dengan bayaran RM 50 dan boleh menghubungi talian 03-3375 5555 sambungan 6308 untuk sebarang pertanyaan.-NFN-

Tiada ulasan: