Khamis, 26 Disember 2013

Penganjur nafi himpunan 31 Disember untuk guling kerajaan

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menafikan himpunan pada malam 31 Disember ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya berpegang kepada objektif mendesak kerajaan menurunkan punca kenaikan kos sara hidup.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin (gambar) atau juga dikenali sebagai Che'Gu Bard berkata himpunan tersebut tidak akan mampu melawan kekuatan pihak berkuasa dan menyifatkan pihak yang  gemar memburuk-burukkan perhimpunan itu terpengaruh hasutan kerajaan.

“Mereka berkejar bertindak kerana hasutan Barisan Nasional (BN).  Kredibiliti polis jelas hilang di sini. Polis perlu tenang kerana  dakwaan menggulingkan kerajaan itu perang saraf jahat regim yang takut dengan kesedaran rakyat.

“Himpunan kami adalah himpunan membantah kenaikan kos meningkat tanpa kawalan. Kami turun secara aman. Semua kuasa ada pada ‘regim’. Apa mampu kami buat?” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Sebuah gabungan yang terdiri daripada Pemuda Umno Pekan, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK), persatuan pesara, bekas tentera dan polis dan beberapa pertubuhan lain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan semalam bagi meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang merancang mengadakan ‘Himpunan Guling Kerajaan’ pada 31 Disember ini.

Wakil mereka yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Pekan, Asmayudim Uyub berkata, mereka bimbang tanpa tindakan awal himpunan itu akan menimbulkan kejadian tidak diingini selain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan.

Badrul Hisham berkata, pihak yang membuat laporan polis sememangnya mempunyai hak untuk berbuat demikian namun sebanyak 15 laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan bekas ketua Cawangan Siasatan Jenayah Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail masih belum ada tindakan.

“Laporan polis hak individu tetapi yang rakyat nak tengok ialah sama ada polis mampu bertindak dengan bijak atau tidak,” katanya yang menjangkakan ramai peserta akan menghadiri perhimpunan itu akibat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Media hari ini melaporkan sekumpulan anggota polis dipercayai datang ke kediaman Badrul Hisham termasuk ke kediaman ibu bapanya di Bukit Chedang, Seremban pada tengah malam tadi.

Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada keluarga Badrul Hiisham, seramai sembilan anggota polis beruniform dan berpakaian preman hadir menaiki dua kereta dan satu van polis.

Ketika diminta mengulas insiden itu, Badrul Hisham berkata: “Saya sedia beri kerjasama dengan polis. Itu saja.

SAMM dalam satu kenyataan semalam memberitahu sebuah panitia yang terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan aktivis anak muda dan kumpulan mahasiswa telah ditubuhkan.

NGO itu berkata panitia yang dinamakan Gerakan 3112 ditubuhkan bagi memastikan himpunan pada malam tahun baru 31 Disember ini lebih tersusun dan berjalan lancar.

“Gerakan 3112 menggesa penyertaan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat memilih Dataran Merdeka sebagai tempat berhimpun pada malam 31 Disember bagi menuntut segala punca kenaikan kos sara hidup diturunkan segera.

“Ini adalah sebuah protes dari rakyat untuk rakyat merentasi batasan parti politik mahupun fahaman agama,” jelas NGO itu yang mengesahkan tiada pemimpin parti politik terlibat dalam perhimpunan tersebut.

SAMM berkata, Gerakan 3112 ditubuhkan untuk menyelaras tiga perkara penting iaitu sebelum, semasa dan selepas himpunan seperti mengatur perikatan dengan kumpulan peguam dalam soal perundangan, persediaan pasukan perubatan dan arahan keselamatan pada 31 Disember.

Katanya, Gerakan 3112 mensasarkan objektif membawa semua peserta himpunan masuk ke Dataran Merdeka walau apa pun halangan bermula jam 10 malam dan berhimpun secara aman serta bertahan selama yang boleh.

“Seluruh kekuatan peserta disaran berkumpul di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada jam 9 malam dan mula bergerak masuk ke Dataran Merdeka pada 10 malam.

“Semua peserta diminta berpakaian serba hitam, membawa bendera kebangsaan dan tidak digalakkan membawa bendera parti politik. Pengumuman rasmi dan arahan terbaru akan disiarkan melalui laman Facebook Gerakan 3112 dan #RakyatPilihDataranMerdeka31Dis,” katanya.

Tiada ulasan: