Jumaat, 20 Disember 2013

Selangor perlu kaji kenaikan cukai PBT sehingga 400%

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

















Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) menggesa kerajaan negeri Selangor mengkaji kadar kenaikan cukai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri berkenaan yang meningkat sehingga 400%.

Jumlah berkenaan katanya melibatkan peniaga-peniaga usahawan kecil dan sederhana di beberapa kawasan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya.

"Ia dibuat menerusi undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor.

"Sememangnya kerajaan negeri sudah memberikan penurunan cukai pintu sebanyak 25% bagi pangsapuri kos rendah sebelum ini," katanya.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) itu jelasnya harus mengambil kira kenaikan kos yang dihadapi oleh peniaga kecil dan sederhana dan golongan pekerja, petani dan kelas menengah.

Lebih-lebih lagi katanya, mereka kini berhadapan dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga tol dan tarif elektrik serta penurunan pelbagai subsidi barangan keperluan oleh kerajaan Persekutuan.

"Kenaikan kos ini pasti akan dirasai di dalam harga barangan yang akan dibayar semua pengguna nanti dan memberi impak kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

"Justeru, saya menggesa Kerajaan Negeri mengkaji semula pelaksanaan dasar ini dan memastikan sebarang perubahan dasar mengambil kira kepentingan rakyat yang ramai," tambahnya.

Keputusan kenaikan lesen perniagaan di MPSJ pula jelasnya sudah diluluskan sejak zaman pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN)  lagi dan bersifat progresif.

"Premis berkeluasan besar dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi, namun kadar peningkatannya masih mendadak bagi perniagaan kecil dan sederhana."

Tiada ulasan: