Khamis, 26 Disember 2013

NGO mahu polis sekat himpunan 31 Dis


 

Sebuah gabungan di daerah Pekan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang merancang mengadakan Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Dis ini.

Gabungan itu terdiri daripada Pemuda Umno Pekan, anggota jawatankuasa kemajuan dan kemajuan kampung (JKKK), persatuan pesara, bekas tentera dan polis, ibu tunggal, persatuan peladang dan nelayan, Belia 4B, Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Wakil mereka yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Pekan, Asmayudim Uyub berkata mereka bimbang tanpa tindakan awal himpunan itu akan menimbulkan kejadian tidak diingini.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih berdasarkan demokrasi dan mengikut undang-undang serta perlembagaan negara," katanya kepada pemberita di Pekan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Pekan,  Lt Kol(B) Zulkiffly Mohd Tahir berkata tindakan tegas bukan sahaja perlu diambil ke atas penganjur tetapi juga penulis blog serta laman sosial yang mempromosikan himpunan haram tersebut.

Menurutnya, PBTM Pekan menyokong sepenuhnya sebarang tindakan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 diambil ke atas mereka yang terlibat.- Bernama

Tiada ulasan: