Ahad, 8 Disember 2013

Nak bina candi, kena minta kelulusan kerajaan negeri, kata Mukhriz

FREE MALAYSIA TODAY

Arahan akan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya insiden kemusnahan di Candi 11, Sungai Batu, Lembah Bujang pada Isnin lepas, berulang kembali.




KUALA LUMPUR:Semua pemilik tanah di Kedah perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri dan Jabatan Warisan sekiranya ada binaan yang boleh dianggap sebagai binaan arkeologi di dalam kawasan milik mereka sebelum menjalankan sebarang kerja pembinaan.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata arahan akan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya insiden kemusnahan di Candi 11, Sungai Batu, Lembah Bujang pada Isnin lepas, berulang kembali.

“Saya dah beritahu Setiausaha Kerajaan Negeri, dan ini akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mengenal pasti pemilik-pemilik tanah untuk menghantar ‘circular’ (surat pekeliling) ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir ke Kuantan oleh Badan Perhubungan Umno Kedah di sini, hari ini.

Umno Kedah menghantar bantuan bernilai RM60,000 berbentuk barangan keperluan seperti ubat dan berus gigi, sabun, lampin serta tuala wanita ke pejabat Umno di Kuantan untuk diagihkan kepada kira-kira 5,000 mangsa banjir.

Mukhriz berkata pembinaan semula candi bersejarah yang wujud pada kurun ke-8 itu tidak menjadi masalah kerana candi yang dimusnahkan itu juga bukan yang asal tetapi dibina semula pada tahun 1974.

“Malah orang yang membinanya semula juga masih hidup dikenali sebagai Haji Jalil yang berada di Melaka. Kita mempunyai pelan dan tahu apakah bahan-bahan binaan yang diperlukan seperti batu sungai, laterite (tanah merah) dan bata,” katanya.

Sementara itu, Mukriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata pihaknya juga bersedia menghulurkan bantuan kepada negeri yang terjejas oleh banjir seperti Terengganu dan Johor mengikut keperluan.

“Lepas surut banjir nanti, banyak kerja perlu dilakukan dan kita akan bantu secara berfasa khususnya membersihkan rumah, memulihkan kerosakan harta benda dan sebagainya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan bapa beliau yang juga bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada Petronas, Mukriz berkata keputusan itu dibuat kerana bapanya tidak suka ‘makan gaji buta’.

“Sebagai penasihat, jika beliau tidak dapat menyumbang idea dan pendapat kepada Petronas, maka ia seperti makan gaji butalah. Terpulanglah kepada semua untuk menginterpretasikan,” katanya.

Pada 2 Dis lepas, Dr Mahathir mengesahkan telah melepaskan jawatannya sebagai penasihat kepada Petronas, berkuat kuasa 1 Dis.

Dr Mahathir berkata sudah masa untuk beliau meninggalkan syarikat petroliam negara itu kerana faktor usia serta ingin menumpukan perhatian kepada kesihatannya.- Bernama

Tiada ulasan: