Isnin, 9 Disember 2013

Najib salah anggap bantahan rakyat sabotaj pelaburan

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan kerajaan bahawa tidak semua pelaburan dari luar bermanfaat untuk negara.

“Kami ingin menegur pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar pihak tertentu dengan label pengkhianat yang dikatakan menakut-nakutkan pelabur Taiwan sehingga menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan asing bernilai RM40 bilion,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, secara simplistik menuduh bahawa menyuarakan pandangan kepada pelabur mengenai kesan yang akan diterima rakyat sebagai sabotaj kepada pelaburan kepada usaha kerajaan untuk dapat menjana pendapatan negara.

Kenyataan beliau seperti di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan kerajaan bahawa tidak semua pelaburan dari luar bermanfaat untuk negara.

Kami ingin menegur pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar pihak tertentu dengan label pengkhianat yang dikatakan menakut-nakutkan pelabur Taiwan sehingga menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan asing bernilai RM40 bilion.

Beliau secara simplistik menuduh bahawa menyuarakan pandangan kepada pelabur mengenai kesan yang akan diterima rakyat sebagai sabotaj kepada pelaburan kepada usaha kerajaan untuk dapat menjana pendapatan negara.

Perlu diingatkan ini bukan isu menyekat pelaburan kepada kerajaan pusat atau sabotaj tetapi ia adalah isu bantahan rakyat yang tidak mahu menerima kesan pengambilan tanah, implikasi kerosakan alam sekitar serta pemindahan penduduk yang akan menyusahkan rakyat.

Pelaburan ke Pengerang, Johor yang dikatakan akan membangun industri petroleum sepatutnya dirancang dengan menghormati inkuari awam mengenai kesan sosial dan alam sekitar.

Rakyat berhak menyuarakan bantahan dalam inkuari awam dan jika kerajaan tidak mahu mendengar bantahan itu, maka mereka berhak juga untuk memaklumkan kepada pelabur mengenai kesan yang penduduk akan terima jika projek itu dilaksanakan di tempat mereka.

Kami berpandangan Ahmad Zahid tidak menghormati proses inkuari rakyat bila isu alam sekitar dibangkitkan seperti yang berlaku dalam isu Lynas di Pahang.

Kami berpendirian bahawa isu gesaan beliau supaya Petronas perlu disokong tidak timbul sama ada ia sebuah syarikat dalam mahupun syarikat luar negara, semua projek yang boleh memberi kesan kepada penduduk perlu menghormati pandangan dan bantahan mereka.

Kehilangan  peluang pelaburan Taiwan tidak sepatutnya menjadi isu kerana jika pihak pelaburan tahu penduduk tempatan tidak senang dengan apa yang bakal berlaku akibat persekitaran mereka yang akan terjejas, maka seharusnya pelabur perlu hormat kepada bantahan rakyat.

Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia  yang dirancang di Johor itu tidak boleh dipaksa ke atas penduduk tempatan tanpa mendengar pandanganbalas awam dan bantahan penduduk tempatan.

Kami juga berpendirian bahawa pihak kerajaan tidak perlu terlalu ghairah dengan mendapatkan pelaburan dari luar kerana isu FDI (Foreign Direct Investment) sudah banyak dikritik oleh pelbagai pakar ekonomi dunia akibat berlaku ‘capital flight’ (pengeluaran modal keluar dari negara) yang telah menjatuhkan ekonomi negara pada krisis kewangan 1998.

Kerajaan harus berganjak dari pemikiran lama yang terlalu bergantung kepada FDI dan melihat usaha membangunkan pelaburan  dalam negara dalam sektor yang strategik akan lebih menjamin ekonomi negara.

Ekonomi yang hanya bergantung kepada pelabur luar tidak menjamin pendapatan kepada negara secara langsung. Malah dengan penganugerahan status perintis untuk mengecualikan cukai selama 10 tahun, pekerja asing yang lebih diutamakan oleh pelabur luar berbanding pekerja tempatan, pemindahan teknologi yang tidak semuanya berlaku seperti yang diharapkan serta pembelian barangan industri dari luar negara lebih dari barangan tempatan, maka kami ingin bertanya benarkah negara akan meraih pendapatan seperti yang didakwa oleh kerajaan.

Sedangkan apa yang negara akan tanggung ialah tanah berpindah kepada milik asing, penduduk tempatan terpaksa dipindahkan, kesan kerosakan alam sekitar yang terpaksa ditanggung oleh negara dan rakyat dan limpahan pekerja luar yang menimbulkan masalah sosio-ekonomi kepada masyarakat tempatan.

Tiada ulasan: