Ahad, 1 Disember 2013

Najib: Masyarakat India sudah kembali sokong BN

 

 

Kerajaan BN akan terus membangunkan masyarakat India dan ia merupakan proses berterusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan pengagihan kekayaan negara dilakukan secara adil dan saksama serta bersifat inklusif kepada semua masyarakat.

"Sebagai sebuah kerajaan kita sentiasa mengusahakan untuk memastikan dasar-dasar negara yang ditunjangi BN merupakan dasar-dasar yang lebih adil, saksama dan pengagihan kekayaan dan peluang dalam semua lapangan bersifat lebih inklusif supaya setiap kelompok masyarakat tidak mengira majoriti atau minoriti akan merasakan di bawah BN mereka boleh  mendapat masa depan lebih baik lagi," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-67 di Melaka, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.

Najib berkata beliau selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN bertanggungjawab mendengar pandangan dan cadangan dari semua parti komponen BN serta rakyat Malaysia mengenai kekurangan atau kelemahan yang perlu ditambah baik.

"Inilah sifat yang saya amalkan selama empat setengah tahun dahulu, saya memulakan proses untuk memperbaiki  kedudukan kaum India sebab pilihan raya umum 2008 memberi isyarat bahawa masyarakat India memerlukan perhatian yang lebih serius daripada kerajaan BN," katanya.

Perdana Menteri berkata usaha untuk menyelesaikan permasalahan kaum India telah dilakukan dan hasilnya sokongan kaum itu kepada BN telah pulih.

Sebagai contoh, katanya dari segi pendidikan, gred purata nasional (GPN)  Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah menunjukkan peningkatan kepada 2.31 pada 2013 berbanding 2.58 pada 2010 dan hanya berbeza 0.04 dengan GPN Sekolah Kebangsaan pada tahun ini.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau belum berpuas hati dengan pencapaian itu kerana merasakan masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

"Sokongan kaum India telah meningkat tetapi saya merasakan sokongan itu bukan sokongan besar-besaran, sebab itu saya anggap ia satu usaha berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Najib menafikan Bajet 2014 hanya memperuntukkan 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264  bilion kepada kaum India.

Katanya pelbagai peruntukan menerusi kementerian-kementerian seperti pembinaan perumahan untuk rakyat juga melibatkan kaum India.  

"Kita tidak sibuk naikkan gaji tinggi padahal mereka (kerajaan Selangor) kata berjuang untuk rakyat...jangan jadi hipokrit," katanya merujuk pada kenaikan gaji dan elaun Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor antara 87 hingga 373 peratus.- Bernama

Tiada ulasan: