Selasa, 10 Disember 2013

Muhyiddin ‘bisu’ kerana tidak ada rancangan lonjak pencapaian Malaysia dalam PISA 2021

kit siang parlimen


KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin membisu mengenai keputusan PISA 2012 kerana beliau tidak mempunyai rancangan padu untuk melonjakkan Malaysia ke dalam kelompok sepertiga teratas dalam PISA 2021.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana untuk mencatat pencapaian sedemikian dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA, Malaysia perlu menjadi ‘negara ajaib’ memandangkan tiada negara mampu berbuat demikian.

Katanya, beliau yakin Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak mampu melakukan sedemikian pada PISA 2021 kecuali dengan kuasa ‘ajaib’.

“Kini saya faham Muhyiddin membisu mengenai keputusan PISA 2012, ujian tiga tahunan global membabitkan 510,000 pelajar berusia 15 tahun daripada 65 negara untuk subjek sains, matematik, dan bacaan, kerana mendapati pencapaian pelajar Malaysia dalam tiga subjek itu bukan saja di bawah tahap purata antarabangsa, malah ketinggalan empat atau lima tahun di belakang pelajar dari negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

“Contohnya, subjek matematik, skor 421 yang dicapai pelajar Malaysia adalah ketinggalan lima tahun di belakang Shanghai (613), empat tahun di belakang Singapura, dan lebih tiga tahun di belakang tujuh negara lain iaitu Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Macao, Jepun, Liechtenstein dan Switzerland,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, bagi subjek sains, skor 420 pelajar Malaysia adalah 4.2 tahun di belakang Shanghai (580) dan lebih tiga tahun di belakang Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Finland dan Estonia.

Katanya, bagi subjek bacaan pula, dengan skor 398 Malaysia empat setengah tahun ketinggalan di belakang Shanghai (570) dan lebih tiga tahun di belakang Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Finland, Kanada, Taiwan, Ireland, Poland, Estonia, Liechtenstein, Australia dan New Zealand.

Dua hari yang lalu, Kit Siang meminta Muhyiddin berhenti membina “mahligai kayangan” sebaliknya menggariskan rancangan padu bagi membuktikan sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan sepertiga teratas dalam PISA 2021 bukan angan-angan kosong.

PISA 2012 menunjukkan bahawa di kalangan negara yang ikut serta dalam setiap penilaian PISA, tujuh negara mencatat peningkatan dalam subjek matematik secara purata 2.5 mata setahun sejak 2003.

Negara berkenaan ialah Brazil yang mencatat peningkatan sebanyak 35 mata daripada 356 mata kepada 391 mata dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA iaitu 2003, 2006, 2009 dan 2012; Itali (meningkat 19 mata daripada 466 kepada 485 mata), Mexico (28 mata dari 385 kepada 413), Poland (18 mata daripada 490 kepada 518 mata), Portugal (21 mata daripada 466 kepada 487), Tunisia (29 mata daripada 359 kepada 388 mata) dan Turki (25 mata daripada 423 kepada 448 mata).

Menurut Kit Siang, Malaysia pada masa ini terperangkap dalam kelompok sepertiga tercorot dalam PISA, iaitu di bawah 450 mata untuk matematik dan untuk melonjak dalam kelompok sepertiga terbaik dalam PISA, Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya 532 mata, bererti ia perlu mencatat peningkatan 111 mata dalam tempoh empat ujian PISA 2012, 2015, 2018 dan 2021.

Katanya, peningkatan sedemikian belum pernah dicapai oleh mana-mana negara, memandangkan peningkatan terbaik setakat ini hanya 35 mata yang dicatatkan Brazil dalam ujian PISA pada 2003 hingga 2012.

“Apakah sasaran itu realistik dicapai apabila Malaysia berbelanja RM20 juta membayar perunding asing bagi merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia sebagai satu “angan-angan mat jenin” mengenai transformasi pendidikan bagi tempoh 13 tahun akan datang.

“Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pelajar berusia 15 tahun Malaysia dijangka mencapai tahap purata antarabangsa pada PISA 2015 dan 2018 sebelum memasuki golongan sepertiga terbaik pada PISA 2021.

“Purata OECD untuk matematik adalah 494 mata, sains 501 mata dan bacaan 496 mata. Jadi dengan skor PISA 2012 hanya 421 mata untuk matematik, sains (420 mata) dan bacaan (398 mata),
Muhyiddin perlu membuktikan bahawa Malaysia mampu mencapai purata OECD bagi tiga subjek ini pada ujian PISA 2015 dan 2018,” katanya.

Menurut Kit Siang, Muhyiddin tidak harus merasa rakyat Malaysia begitu mudah diperdayakan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bernilai RM20 juta dan dilaksanakan perunding asing.-Roketkini.com

Tiada ulasan: