Selasa, 3 Disember 2013

MP DAP: Jelaskan tunggakan insentif tangkapan nelayan

 
Kementerian Pertanian dan Asas Tani telah diperuntukkan sejumlah RM6.03 billion dalam belanjawan 2014 . 




PETALING JAYA: Ahli Parlimen Taiping  Nga Kor Ming menggesa kerajaan segera umenjelaskan tunggakan bayaran insentif hasil tangkapan kepada nelayan di seluruh negara yang didakwa tertunggak sejak Julai tahun ini.

Nga mendedahkan bahawa beliau telah menerima aduan dari nelayan di kawasan Hutan Melintang, Pantai Remis, Sungai Besar dan Kuala Sepetang bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani gagal menjelaskan bayaran subsidi hasil tangkapan bernilai 10  sen sekilogram tersebut tersebut kepada nelayan walaupun tuntutan telah dikemukakan.

“Kementerian Pertanian dan Asas Tani telah diperuntukkan sejumlah RM6.03 billion dalam belanjawan 2014 dan jumlah tersebut seharusnya memadai untuk menanggung bayaran kepada nelayan khususnya Jabatan Perikanan yang telah memperolehi peruntukan sebanyak RM240.5 juta untuk program khusus dan dasar baru insentif hasil tangkapan ikan,” jelas Nga dalam satu kenyataan  media.

Tambahnya lagi, mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh persatuan nelayan, di kawasan Hutan Melintang sahaja, jumlah tunggakan bayaran oleh kementerian dianggarkan lebih kurang RM1.31 juta dari jumlah kapal kelas C2, C dan B berjumlah 670 buah kapal yang masih beroperasi.

“Jika dianggarkan seluruh negara, jumlah tunggakan 5 bulan ini adalah melebihi RM100juta dari jumlah RM240 juta yang diperuntukkan untuk tempoh 12 bulan,” katanya.

Beliau berkata warga nelayan kini terpaksa menanggung tekanan hidup yang tinggi akibat kenaikan harga diesel, dasar pukat keroncong 38 mm serta larangan mengupah buruh asing untuk menangkap ikan.

`Bayaran tertunggak’

“Kini bayaran yang dijanji oleh kementerian juga tertunggak, ini merupakan satu perkara yang wajib dielakkan kerana ini akan menjejaskan kewibawaan dan amanah sebuah kerajaan,” katanya lagi.

Menurut Nga, insentif hasil tangkapan ini telah diperkenalkan untuk meringankan beban nelayan sejak tahun 2011 setelah kerajaan menaikkan harga diesel dari RM1.00  kepada RM1.20 seliter

Walaubagaimanapun, insentif ini kekal tidak berubah walaupun kerajaan menaikkan harga diesel sekali lagi pada bulan Julai tahun ini dari RM1.25 kepada RM1.45 satu liter.

Selain itu, Nga turut menggesa kerajaan supaya mengumumkan laporan pakar berkecuali ke atas dasar pukat keroncong 38 mm yang mengakibatkan nelayan ‘pulau’ laut November lepas.

“Tanpa laporan pakar yang berkecuali, warga nelayan tidak mempunyai keyakinan bahawa perlaksanaan dasar itu dapat membela sumber laut khususnya dasar itu telah wujud lebih 28 tahun dahulu sejak 1985 tetapi tetapi ia tidak dilaksanakan.

“Satu kajian pakar berkecuali harus dijalankan untuk menyakinkan warga nelayan dan kementerian perlu terus berdialog dengan mereka kerana perikanan merupakan sumber protein utama rakyat negara ini,” tegasnya.

Tiada ulasan: