Selasa, 3 Disember 2013

Kerajaan buat apa sahaja ambil duit dari poket rakyat

MALAYSIA CHRONICLE





KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak lagi mempedulikan nasib rakyat negara ini apabila mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan duit daripada poket rakyat, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas mengenai kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus bermula tahun depan, bagi Mahfuz ianya satu tindakan yang mengecewakan rakyat negara ini.

"Pelbagai kenaikan harga berlaku selepas PRU13 lalu dengan petrol yang memberi kesan berantai. Hari ini pula tarif elektrik naik.

"Malangnya, sebelum PRU bermacam-macam kerajaan menggulakan rakyat sehingga mereka terlupa apa akan berlaku lepas PRU, lupakan kesusahan mendatang," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat difahamkan kenaikan tarif elektrik berkemungkinan akan dikenakan GST pada tahun 2015.

"Rakyat akan membayar dengan jumlah yang berganda-ganda, tidak termasuk barangan dan perkhidmatan yang lain. Rakyat bertambah terbeban," katanya.

Tegasnya, slogan yang dilaungkan kerajaan sebelum ini ’Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ sudah hilang begitu sahaja.

Bagaimanapun beliau meminta agar rakyat negara ini tidak  lagi berdiam diri dengan apa yang telah kerajaan lakukan  selama ini.

"Mereka perlu membuka minda dan berbuat sesuatu ke atas apa yang kerajaan lakukan, jika tidak lebih berat lagi nasib yang diterima rakyat pada masa akan datang," ujarnya. - Harakahdaily

Tiada ulasan: