Selasa, 3 Disember 2013

Laporan Audit Negara: Kontraktor Gagal Siapkan Pakej B Kolej TLDM, Kerajaan Rugi RM10.2 Juta

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Kegagalan kontraktor asal menyiapkan projek pakej B pembangunan semula kompleks bangunan Kolej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak telah menyebabkan kerajaan kerugian RM10.2 juta.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini Isnin, projek pakej B itu diberikan kepada syarikat Ijhraa Sdn Bhd pada 16 Disember 2009 dengan nilai RM41.46 juta.

Kontrak pakej B itu terdiri daripada pembinaan KD Pelandok merangkumi bangunan bilik kuliah, bangunan pengurusan hospitaliti dan kulinari, 'small arm simulator' dan bengkel ujian jentera, 'propulsion' dan 'simulator'.

Menurut laporan audit itu, pembayaran sebanyak RM8.73 juta telah dibuat kepada kontraktor asal tetapi Kementerian Pertahanan menamatkan kontrak itu setelah kontraktornya gagal menyiapkan projek berkenaan.

Berikutan kes itu, kerajaan terpaksa melantik kontraktor baharu, JJM Integrated Sdn Bhd pada 3 Oktober 2012 bagi meneruskan projek berkenaan, yang sepatutnya siap pada 20 Oktober 2013 dengan kos RM42.93 juta.

"Projek ini telah dikategorikan sebagai projek sakit dan tindakan bagi mengatasinya menyebabkan kerugian berjumlah RM10.2 juta iaitu RM8.73 juta bayaran yang telah dibayar kepada kontraktor asal dan perbezaan antara kedua kontrak berjumlah RM1.47 juta," menurut laporan audit itu.

Laporan audit itu menyebut kerja menyiapkan projek itu berada pada 72.48 peratus pada September lepas.

Sementara itu, projek pembinaan kompleks markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan institut Pengurusan Krisis dan Bencana Negara (IPKBN) di Pulau Meranti, Puchong mengalami peningkatan kos sebanyak RM12.65 juta daripada kos asal RM77.59 juta, menurut laporan itu.

Ini berikutan perancangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lemah terhadap reka bentuk dan skop kerja, keadaan luar jangka di tapak pembinaan dan masalah kenaikan harga bahan binaan, menurut laporan audit.

Pembinaan kompleks SMART dan IPKBN dibahagikan kepada tiga fasa iaitu:

Fasa 1: pembinaan kuarters dan litar merempuh halangan

Fasa 2: bangunan markas SMART, rumah kelab dan surau

Fasa 3: bangunan IPKBN dan bangunan simulasi khusus bagi latihan kepakaran anggota SMART.

Selain itu kelewatan penyiapan Fasa 1 dan Fasa 2 projek itu oleh pihak kontraktor iaitu bagi Fasa 1 selama 353 hari yang mana projek yang siap hanya diserahkan kepada kerajaan pada 30 Januari 2009, dan bagi Fasa 2 selama 350 hari iaitu diserahkan kepada kerajaan pada 15 Jun 2010, daripada tarikh sepatutnya.

"Secara keseluruhannya prestasi pembinaan kompleks Markas SMART dan IPKB Nadalah kurang memuaskan. Matlamat untuk menyediakan kemudahan latihan yang sempurna bagi anggota SMART juga masih belum dicapai disebabkan pembinaan Fasa 3 yang mengandungi bangunan simulasi untuk latihan kepakaran anggota SMART tidak diteruskan," menurut laporan itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: