Jumaat, 20 Disember 2013

Kerana terlalu hangat maka akhbar The Heat ‘dihangitkan’, kata Sasterawan Negara

OLEH DIYANA IBRAHIM





Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (gambar) hari ini menyelar  tindakan Kemeterian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung akhbar mingguan The Heat hanya kerana memaparkan perbelanjaan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau menyifatkan perbuatan kerajaan mengarahkan penggantungan akhbar itu sebagai satu lagi tindakan yang mematikan demokrasi di negara ini.

"Saya anggap akhbar itu kerana terlalu hangat maka ia dihangitkan, rupanya adalah salah apabila media cuba mendedahkan kepada rakyat tentang perbelanjaan mewah Perdana Menteri dan isterinya.

"Maka di manakah demokrasinya mengapa kerajaan ini begitu takut dengan suara media? Dengan suara rakyat? Apakah bila tidak suka pasti akan disekat atau dimatikan terus?" kata Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian bagi mengulas arahan penggantungan akhbar berbahasa Inggeris The Heat yang dipercayai berpunca daripada artikel muka hadapan yang disiarkan akhbar itu.

Susulan arahan penggantungan itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima ktritikan hebat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau akan membangkitkan isu penggantunggan akhbar itu dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat (PR) kerana tindakan itu merupakan satu bentuk tekanan kepada media.

Pada masa sama Samad berkata, kerajaan perlu membuat satu tindakan yang drastik agar ruang demokrasi lebih terbuka.

“Daripada menutup, menyekat alangkah lebih baik sekirnya mereka (kerajaan) mengambil pendekatan mendengar," katanya.

Samad merupakan bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 bersama-sama Datuk Ambiga Sreenevasan yang memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil.

Selain itu, Samad juga berpengalaman dalam dunia kewartawanan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di portal The Ant Daily semalam akhbar The Heat mengesahkan penerbitan mereka digantung.

Akhbar mingguan tersebut diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu dan Ketua Pengarangnya David Lee Boon Siew turut dipanggil KDN ke Putrajaya untuk ‘melembutan’ berita mereka.

The Malaysian Insider difahamkan walaupun KDN tidak menyatakan secara terangan berhubung mana-mana artikel dipercayai ia berpunca daripada artikel bertajuk" All eyes on big spending Najib" yang diterbitkan dalam isu 23-29 November lalu.

Tiada ulasan: