Khamis, 26 Disember 2013

Kerajaan Selangor serah kunci rumah, subsidi tambang bas sekolah

IMG_4532


KLANG,: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Klang menganjurkan majlis Penyerahan Kunci Rumah Kerajaan Prihatin dan Subsidi Tambang Bas Sekolah, semalam.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang mulai jam 2.30 petang itu dilancarkan Timbalan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Tiew Way Keng.

Tiew dalam ucapannya berkata, program itu adalah usaha kerajaan negeri membantu rakyat Selangor dan diharap dapat meringankan beban mereka.

“Selain rumah untuk golongan berpendapatan rendah, Kerajaan Selangor juga memberi subsidi tambang bas sekolah kepada anak-anak pekerja ladang berikutan kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi oleh kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha memberi manfaat kepada rakyat. Program Pemberian Subsidi Tambang Bas Sekolah ini diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Teratai.

Seramai 64 daripada 160 penerima bantuan Program Rumah Kerajaan Prihatin menerima kunci rumah masing-masing.

Seramai 39 pelajar daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Brafferton; Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Kapar, Sekolah Kebangsaan Kapar dan Sekolah Menengah Kebangsaaan Tengku Idris Shah pula menerima subsidi tambang bas sekolah bernilai RM300 setiap seorang.

Program Perumahan Kerajaan Prihatin adalah di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), manakala Subsidi Tambang Bas Sekolah di bawah Tabung Pendidikan Anak Pekerja Landang.-Roketkini.com

Tiada ulasan: