Selasa, 10 Disember 2013

Kerajaan digesa kurangkan kadar tol atau berdepan protes rakyat

gobind


KUALA LUMPUR- DAP meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kepada rakyat bahawa kadar tol Lebuhraya Lembah Klang (NKVE) tidak akan dinaikkan.

Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, ia perlu diberikan berikutan janji kerajaan di Parlimen untuk mencari jalan mengurangkan kadar tol dan kesesakan lalu lintas di lebuhraya itu.

Menurutnya, jika kerajaan tidak menunaikan janji itu, satu siri protes akan dilancarkan di Puchong.
“Kerajaan perlu tunaikan janji. Kurangkan tol, bukan naikkan. Jika tidak, satu siri protes akan dilancarkan untuk menuntut pengurangan kadar tol.

“Sudah tiba masanya untuk mengingatkan kerajaan bahawa kami sememangnya serius mengenai perkara ini dan mereka tidak boleh secara sesuka hati melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP menegaskan walaupun Najib dan kerajaan sering mendakwa bersimpati dengan beban kewangan rakyat, namun tindakan sebaliknya yang dilakukan mereka.

Tegas Gobind, Najib pada 28 November dua tahun lalu menyatakan sejajar dengan konsep 1Malaysia pihaknya sudah meminta syarikat konsesi tol membuat kajian semula struktur tol masing-masing untuk membantu kerajaan memakmurkan negara dan mengurangkan beban rakyat.

Beliau menambah, demi mendapatkan sokongan ramai sebelum PRU lalu, Najib juga mengumumkan tidak ada kenaikan tol akan dikenakan di lebuhraya tertentu seperti Lebuhraya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL).

“Kini sebaliknya pula yang terjadi. Ia tidak masuk akal untuk menaikkan kadar tol di saat kita melihat satu peningkatan besar jumlah trafik di lebuhraya, ini sekaligus bermaksud koleksi lebih besar diperoleh syarikat konsesi.

“Kerajaan perlu menjelaskannya. Apakah justifikasi untuk kenaikan ini? Tidakkah harga kadar tol perlu diturunkan apabila jumlah trafik meningkat?

“Kerajaan seharusnya sedar ramai rakyat terjejas akibat kos hidup yang semakin meningkat terutama di Lembah Klang. Usahlah tambahkan lagi beban mereka,” ujarnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: