Rabu, 25 Disember 2013

Jais cari penganut Kristian guna kalimah Allah di Selangor

OLEH MUZLIZA MUSTAFA

Mahkamah sejak Oktober lalu menetapkan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Gambar fail.Mahkamah sejak Oktober lalu menetapkan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Gambar fail.






















Hari Natal disambut di seluruh dunia tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak terpengaruh dengan bahangnya apabila mereka memulakan gerakan mencari kumpulan penganut agama Kristian yang menggunakan kalimah Arab Allah secara tidak sah dalam upacara keagamaan mereka minggu lalu.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan pada Isnin sekumpulan penganut Karistian didakwa menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka di sebuah hotel di Klang.
Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan menetapkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penggunaan kalimah itu.

Kerajaan dan penguatkuasa agama bukan sahaja menyekat penggunaan kalimah Arab itu kepada penganut Kristian akan tetapi sudah memulakan langkah untuk mengharamkan fahaman Syiah di Malaysia.

Baru-baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, di Malaysia, hanya terdapat 1,500 penganut fahaman itu.

Dalam kes terbaru, Timbalan Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata mereka masih belum mendapat bukti penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka.

“Kami sedang meminta bantuan pihak pengurusan hotel untuk melihat rakaman CCTV bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu. Kami tidak boleh bertindak hanya dengan bukti gambar dalam surat khabar,” kata Ahmad Zaki kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Jais juga akan mendapatkan kerjasama daripada penganjur majlis untuk membantu siasatan.
“Gambar bukan satu bukti yang kuat untuk kami bertindak,” katanya.

Ahmad Zaki merujuk kepada laporan Utusan Malaysia pada Isnin yang turut menyiarkan gambar majlis itu tertera dengan perkataan "International Full Gospel Fellowship Keluarga Allah Satelit Nilai dan Satelit Puchong, ‘Dari dalam gelap akan terbit terang’,” sebagai latar belakang pentas dewan tersebut.

Difahamkan Jais menyiasat kes itu mengikut Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang menghalang bukan Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’.

Akhbar milik Umno itu melaporkan program tertutup itu dihadiri kira-kira 200 orang dan dianjurkan oleh International Full Gospel Fellowship. Laporan itu juga menyebut mereka yang hadir turut menyanyikan lagu menggunakan kalimah Allah.

Ini menyebabkan dua kumpulan Islam meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan ini kerana menyalahgunakan kalimah Allah.

Dalam reaksi awal Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (Ikddas) dan Perkasa Selangor menggesa Jais menyiasat dan bertindak.

"Daripada sudut perundangan, jelas pengunaan kalimah Allah ini dilarang sama sekali digunakan oleh bukan Islam. Soalnya, jika benar penganjur terbabit menggunakan kalimah suci itu dalam program agama bukan Islam, Jais tidak perlu teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat," kata Presiden Ikddas, Rosdi Long kepada Utusan Malaysia.

Pengerusi Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, ia merupakan satu tindakan tidak wajar apabila bukan Islam menggunakan kalimah tersebut kerana Sultan Selangor sudah mengisytiharkan perintah mengenai perkara tersebut.

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan pemimpin tertinggi agama di negeri tersebut mengisytiharkan bukan Islam dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan di Kitab Injil dan penerbitan mingguan Katolik Herald berbahasa Melayu.

Katanya, ini bertujuan menjamin kesucian agama dan umat Islam daripada dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.

Pada 14 Oktober, Mahkamah Rayuan menyokong keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung penerbitan akhbar Herald sekiranya masih berdegil menggunakan kalimah Allah.

Tiada ulasan: