SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini membidas kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang menyebut rakyat tidak seharusnya menuding jari kepada Umno berhubung kenaikan kos sara hidup dan harga barang keperluan.
Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan tersebut menunjukkan pemimpin Umno sudah jauh daripada realiti hidup masyarakat.
“Alasan yang diberikan beliau dilihat cuba memperlekehkan minda rakyat. Seolah-olah rakyat masih hidup di zaman 70-an yang tidak mempunyai sebarang akses maklumat.
“Walhal adalah menjadi kewajipan pemimpin untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, sebagai parti pemerintah, Umno tidak boleh mengelak daripada dipertanggungjawabkan atas perkara itu.
“Mana mungkin kalau dikatakan Umno tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan isu kenaikan kos sara hidup.
“Mereka yang menentukan dan menjalankan polisi, maka sudah tentu Umno tidak boleh mengelak daripada dipertanggungjawabkan,” katanya.
Jelasnya, meskipun kenaikan kos hidup tidak dapat dielak, kerajaan haruslah bijak untuk membuat penyelarasan dengan menaikkan gaji.
“...Tetapi sebaliknya ini (kenaikan gaji) tidak berlaku, sehingga akhirnya menyebabkan rakyat semakin tertekan.
“Yang menjadi persoalannya, pelbagai kos meningkat naik bahkan dalam masa yang sama pendapatan negara juga semakin bertambah.
“Ke mana perginya wang negara yang melimpah ruah itu? Ditambah pula dengan isu ketirisan yang ditimbulkan dalam Laporan Audit Negara yang hampir setiap tahun juga masih belum terjawab,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan