Ng Suee Lim  
 
Ng Suee Lim

SEKINCHAN – Kenaikan gaji Adun Selangor yang bakal berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan turut melibatkan lebih 200 bekas Adun Barisan Nasional (BN) yang turut bakal  menikmati kenaikan pencen dengan bayaran sebanyak RM5,625.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, kenaikan itu diberi kepada semua bekas Adun yang pernah berkhidmat selama dua penggal berturut-turut dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dipilih melalui proses pilihan raya.

Menurutnya, beberapa Adun BN yang menghubungi beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak melupakan kebajikan bekas wakil rakyat.

“Kenaikan gaji Adun ini mendapat sokongan sebahagian besar daripada bekas wakil rakyat BN yang turut menerima faedah besar apabila memperoleh tambahan pencen berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Suee Lim berkata, kerajaan negeri turut memahami denyut nadi dan kepayahan bekas Adun terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

“Saya difahamkan ada sesetengah Adun ini bergantung sepenuhnya kepada wang pencen dan kebajikan mereka juga tidak pernah kita abaikan.

"Kenaikan gaji ini bukan untuk kepentingan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya kita yakin bahawa ia memberi kesan kepada bekas wakil rakyat BN dan Adun BN Selangor yang turut memperoleh kenaikan tersebut.

“Saya telah ambil inisiatif mengedarkan borang perakuan kepada mana-mana Adun BN dan bekas Adun BN. Mereka yang tak setuju dengan kenaikan ini boleh derma gaji mereka kepada badan kebajikan,” katanya sambil memberitahu beliau sendiri sebelum ini semasa sesi perbahasan di Sidang Dun turut menyerahkan borang perakuan untuk ditandatangani Adun BN.