Mahfuz Omar  
Mahfuz Omar


SHAH ALAM – Pemimpin Pas menyifatkan tuduhan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada pemimpin daripada parti itu yang mengamalkan ajaran Syiah adalah usaha untuk memburuk-burukkan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuduhan yang dibuat oleh Ahmad Zahid itu juga hanya bertujuan untuk menarik sokongan perwakilan parti itu bagi mengukuhkan kedudukan dirinya.

Beliau yang menafikan ada pemimpin Pas yang mengamalkan ajaran Syiah berkata, kecenderungan seseorang itu menyokong perjuangan Islam di Iran tidak semestinya seseorang itu mengamalkan ajaran Syiah.

“Dalam soal ini, kita menafikan ada kepimpinan Pas yang terlibat dengan Syiah termasuklah individu yang dimaksudkan oleh Ahmad Zahid iaitu Mohamad Sabu (Timbalan Presiden Pas) sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahmad Zahid  pada Perhimpunan Agung Umno kelmarin bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai semua bukti mengenai pembabitan pemimpin tertinggi parti itu dalam gerakan Syiah di Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, KDN telah memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas tersebut.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas mempunyai mekanisme untuk mengesahkan bahawa semua pemimpin parti itu  tidak terlibat dengan ajaran Syiah, sebaliknya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

“Mat Sabu telah membuat pengesahan bahawa dirinya seorang Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Jadi kecenderungan itu (menyokong gerakan Islam di Iran) tidak bermaksud Mat Sabu mengamalkan Syiah,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan selanjutnya terhadap menteri itu hanya akan dilakukan oleh Mat Sabu sendiri memandangkan ia lebih bersifat peribadi.

“Bagi Pas sendiri, kita menafikan dakwaan itu dan memandangnya sebagai satu perkara yang serius dan keterlaluan. Dalam konteks peribadi itu, Mat Sabu sendiri telah berbincang dengan pihak peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tuduhan Ahmad Zahid itu itu merupakan satu tindakan biadab dan bertujuan memecahbelahkan orang Melayu.

“Mereka kata Melayu kena bersatu tetapi tuduhan sebegini bukan sahaja membuktikan sebaliknya malah dilihat mahu mengganggu kestabilan hubungan sesama umat Islam di Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya tentang keperluan Mohamad Sabu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid, Mahfuz menjelaskan, perkara tersebut masih lagi dalam pertimbangan pemimpin nombor dua Pas itu.

“Saya sudah baca penafian yang dibuat oleh Mat Sabu dan beliau sendiri telah menyerahkan kepada peguamnya sama ada mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menasihatkan Ahmad Zahid supaya lebih berhati-hati dalam ucapannya selepas ini memandangkan beliau merupakan seorang menteri kanan dan berpengalaman luas dalam landskap politik tanah air.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat berkata, Ahmad Zahid sepatutnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana Mat Sabu sendiri telah menafikan pembabitannya dengan fahaman tersebut sebelum ini.

“Mat Sabu telah mengatakan ‘tidak’ pada Syiah ketika Majlis Syura yang dijalankan Pas baru-baru ini. Jadi saya rasa tidak ada kewajaran untuk Zahid menyerang Mat Sabu tanpa usul periksa,” katanya.

Katanya lagi, tindakan Zahid mengarahkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) supaya menahan Mat Sabu atas dakwaan itu juga dilihat jelas bercanggah dengan peranan yang seharusnya dimainkan oleh agensi kerajaan itu.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan kenyataan Mat Sabu sehingga petang semalam bagaimanapun gagal.