Ahad, 15 Disember 2013

BN cadang guna kaedah majoriti mudah tahun depan




PUTRAJAYA – Cadangan untuk mengguna pakai kaedah majoriti mudah berbanding sistem konsensus yang kini diamalkan Barisan Nasional (BN) dalam membuat keputusan akan dikemukakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada tahun depan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perlembagaan BN perlu dipinda untuk membolehkan kaedah undi majoriti dilaksanakan.


“Sekiranya sebuah parti komponen tidak bersetuju terhadap sesuatu cadangan maka ia tidak akan diteruskan (mengikut sistem konsensus). Saya sebagai Setiausaha BN akan mencadangkan agar mengkaji dan meminda semula perlembagaan BN untuk menggunakan kaedah majoriti mudah.

“Perkara ini saya telah maklumkan kepada perdana menteri yang juga pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India se-Malaysia (IPF) ke-21 di SeriKembangan, dekat sini hari ini.

Tengku Adnan berkata demikian bagi mengulas permintaan Presiden IPF Datuk M.Sambanthan dalam ucapannya di perhimpunan parti itu agar BN menerima IPF sebagai salah sebuah parti komponen.

Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 700 perwakilan parti.

Sementara itu, Sambanthan berkata parti komponen BN yang lain akan meminggirkan IPF sekiranya tidak diterima sebagai sebuah parti komponen BN sekali gus menghalang usaha parti berkenaan untuk berkempen dengan baik dalam pilihan raya umum akan datang.

“IPF turut memohon agar anggota parti IPF dilantik untuk jawatan Ahli Dewan Negara, pengarah syarikat kerajaan serta sebagai anggota majlis pihak berkuasa tempatan,” katanya.


Mengenai masalah dalaman IPF, Sambanthan berkata, mereka yang terlibat dalam isu itu bukan lagi anggota parti kerana mereka telah meninggalkan parti beberapa tahun yang lepas.

“Sejak dilantik menjadi presiden, saya telah mengajak mereka memperbaharui keahlian dalam parti tetapi mereka enggan melakukannya.

“Setakat ini, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan sebarang cawangan yang ditubuhkan oleh bekas anggota parti ini,” katanya.

Sambanthan berkata IPF mempunyai 26 anggota jawatankuasa tertinggi dan lebih 100,000 anggota di 600 cawangan seluruh negara.

Tiada ulasan: