Tindakan keras kerajaan terhadap kumpulan Syiah terus mengundang rintihan penganut ajaran itu di negara ini.

Mereka beranggapan hak mereka dinafikan berbanding umat Islam lain, malah bukan Islam dan binatang sendiri.

NONE"Bukan Islam di negera ini turut diberikan hak mereka. Saya juga patut diberikan hak sebagai Muslim.

"Tetapi untuk saya, tiada hak sama sekali. Malah binatang pun ada haknya," seorang pemimpin kanan masyarakat itu dipetik sebagai berkata.

Kamilzuhairi Abdul Aziz, tokoh Syiah Imamiah Malaysia, berkata demikian ketika ditanya The Wall Street Journal apa yang tinggal bagi masyarakat itu selepas pusat mereka diserbu dan buku-buku mereka diharamkan.

Provokasi isytihar Sunni musuh
Dalam wawancara yang disiarkan pada Isnin, Kamilzuhairi, 47, juga berkata, mereka juga ditindas, antaranya apabila tidak dibenarkan mengamalkan upacara keagamaan berkaitan fahaman itu.

"Pegawai penguatkuasa, pihak berkuasa agama, mereka lakukan banyak perkara yang bertentangan dengan perlembagaan dan ia satu bentuk penindasan.

Tafsiran mereka terhadap undang-undang agama tidak selalu benar," beliau dipetik sebagai berkata.

Kamilzuhairi, yang dilapor lahir sebagai Sunni sebelum bertukar kepada Syiah, berkata mereka juga diprovokasi untuk mengatakan Sunni sebagai musuh.

""Kami berita mereka, sampai hari pengadilan, kami tidak akan katakannya," kata Kamilzuhairi seperti dilaporkan akhbar itu.

"Baru-baru ini ada artikel di akhbar oleh seorang yang dikatakan ulama (Sunni) yang berkata, (menurut Syiah) sesiapa yang membunuh Sunni mendapat pahala.

"Ini semua tuduhan palsu. Ini fahaman yang bahaya. Kami boleh bertolak ansur dengan perbezaan-perbezaan asas."