Bina homestay, hotel haram 
 Banglo yang telah diubahsuai kepada homestay.


RAWANG - Sebuah banglo milik seorang warga Singapura diperiksa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas pelan perancangan asal kediaman itu diubah suai dari dua kepada empat tingkat tanpa kebenaran.

Malahan unit tersebut yang terletak di Bandar Country Homes turut dijadikan homestay sejak lima tahun lepas tanpa mendapat kebenaran perniagaan.

Bagaimanapun, tiada tindakan dibuat sehingga semakan status Jabatan Perlesenan dibuat.

Dalam operasi pada Khamis lalu, sebanyak lima hotel bajet diperiksa, dua dikenakan sitaan, satu ditutup, satu telah mempunyai lesen dan satu lagi dalam proses semakan.

Sebuah lagi hotel bajet di Rawang Sentral pula masih beroperasi walaupun dikenakan tindakan bulan lepas.

Menurut Penolong Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil,  bulan lalu pihaknya telah menyita sebahagian barangan perniagaan hotel tersebut sebagai peringatan namun tindakan itu tidak menjejaskan langsung perjalanan hotel berkenaan.

“Pemiliknya warga tempatan mempunyai dua hotel bajet di Rawang dan salah satunya ada lesen manakala satu lagi tidak disebabkan bangunan tidak mempunyai syarat layak menduduki dan tiada kebenaran merancang membuatkan permohonannya ditolak.

“Walaupun amaran secara lisan telah diberikan namun pemiliknya masih berdegil,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sementara itu, sebuah lagi hotel bajet berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang yang beroperasi lebih lapan tahun juga turut dikenakan tindakan selepas tidak mempunyai lesen.

“Sebarang aktiviti perniagaan perlulah membuat permohonan lesen dahulu.

“Tindakan sita adalah di bawah Undang-undang Kecil Hotel (MPS) 2007 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen 2013,” katanya.